Polis Bahagian Narkotik, PDRM Kedah telah berjaya menahan seorang lelaki yang cuba bertindak melarikan diri dan telah menggilis kaki kiri seorang anggota polis serta melanggar dua kereta dinaiki pihak polis dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semasa, kejadian sepasukan polis telah menghampiri kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh suspek dan berhenti dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang di Air Hitam.
“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan untuk pertahankan diri dan kereta suspek telah terbabas ke dalam kawasan bendang.
“Semasa tangkapan, telah berlaku pergelutan apabila suspek telah mengeluarkan sebilah pisau dan menikam seorang anggota polis menyebabkan kecederaan pada jari tengah tangan kanan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai tiga paket plastik lutsinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu dan suspek berusia 38 tahun mempunyai 10 rekod lampau kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu dengan niat cubaan membunuh orang dan memiliki senjata berbahaya/ berjadual di bawah Seksyen 7, Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958(Akta 357).
Tambahnya, siasatan juga dijalankan atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mandatori gantung sampai mati.