Hasil risikan polis dan maklumat awam, operasi telah dilakukan oleh pihak polis di tingkat tujuh sebuah pusat KTV, kompleks perniagaan di Jalan Burma, Pulau Pinang jam 1 pagi semalam.
Seramai 124 individu yang dipercayai sedang meraikan sambutan hari jadi di pusat KTV tersebut terbantut apabila premis terlibat diserbu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah.
Sumber dari Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM Pulau Pinang menyatakan operasi tersebut dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap(D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta juga Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
“Polis terpaksa memecah pintu hadapan premis untuk masuk kerana pintu telah dikunci dari dalam dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati 124 individu termasuk beberapa orang warga asing yang berumur antara 15 hingga 70 tahun yang terdiri daripada 99 lelaki dan 25 wanita sedang leka berhibur dengan bunyi muzik yang kuat.
“Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatoo ahli kumpulan kongsi gelap dan hasil ujian air kencing keatas mereka mendapati 21 daripadanya positif pelbagai jenis dadah.
“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk tindakan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya), Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin), ” jelas sumber Jabatan Siasatan Jenayah tersebut.