Dalam tempoh hanya 20 jam, laman rasmi Facebook Dewan Pemuda Pas menerima ‘serangan’ warganet susulan ucapan tahniah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendapat gelaran ‘Tan Sri’ semalam.
Semakan Malaysia Dateline pagi ini mendapati, rata-rata netizen mempersoal kewajaran Abdul Hadi diberikan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) itu.
Bahkan, ada yang mengaitkan dengan konsep istidraj iaitu pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya.
“Adakalanya gelaran yang Allah aturkan ini bukan sebagai nikmat tapi sebagai sindiran dan istidraj di kala rakyat bergelut dengan kesusahan hidup dengan barang keperluan yang semakin mahal.
“Maka, beringatlah. Adakalanya pangkat bolehh menutup mulut kita serapatnya,” nasihat pengguna Facebook Erry Zareery.
Amanat Haji Hadi di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 juga dibangkitkan kembali sesetengah warganet apabila Hadi mendapat gelaran Tan Sri selepas 40 tahun masyarakat Islam berpecah-belah akibat fatwa sesat itu.
“Amanat diisytiharkan sesat pun dapat Tan Sri jugak ke?” tempelak ringkas Saiful Bahri.
Untuk rekod, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini mengesahkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan ‘Amanat Haji Abdul Hadi’ sebagai sesat.
Namun, pengguna Twitter mendakwa fatwa amanat Haji Hadi yang telah difatwakan haram pada 2002 itu telah dipadam.
Dalam masa sama, netizen turut membandingkan jasa kepada negara yang telah dicurahkan antara Hadi dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“KJ (Khairy Jamaluddin) berpeluh buat kerja pun tak dapat,” sinis Mohd Zairi Aziz.
Selain itu, ‘pencapaian’ Hadi dengan gelaran dan lanjutan lantikan sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri dilihat sebagai hasil bersama dengan Umno.
“Inilah untungnya bila bersekongkol dengan Umno. Dapat jawatan dalam kerajaan dan mudah dapat pingat, anugerah dunia.
“Kalau dulu bersama DAP, apa habuk pun tak dapat, dapat hinaan dan cacian sajalah dari macai-macai Umno ketika itu,” selar Che Mat Saudagar pula.
Paling banyak hujah warganet dalam mempertikai kelayakan Hadi untuk menerima gelaran Tan Sri itu apabila mengaitkan kekerapan pemimpin berusia 74 tahun itu dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
“Apa sumbangan dia? Parlimen jarang nampak muka. Jadi duta, duta mengkedarah gaji buta, apa satu kerja pun tak nampak dia buat,” hentam Mohd Nazmi Ahmad Rodzi.
Hal sama dibangkitkan Muhd Farid apabila secara sinis meninggalkan komen, “Alhamdulillah, hasil ponteng Parlimen, jilat menjilat sana sini, dapat juga Tan Sri” manakala Muhammad Firdaus pula berseloroh, “Lepas ni jangan selalu ponteng Parlimen tau. Malulah Tan Sri ponteng Parlimen.”