Rakyat Melaka harus bersama PH, kepimpinan Adly untuk tempoh lima tahun

Oleh ARIF ATAN

Rakyat Melaka harus bersama Pakatan Harapan (PH) menolak anugerah kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sebanyak RM100 juta kepada Najib Razak.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) esok rakyat Melaka perlu menterjemahkan penolakan pembaziran dan penggunaan wang rakyat untuk kepentingan peribadi pemimpin BN/PN.

“Kita berharap, rakyat Melaka memulakan suatu pemerintahan rakyat yang baharu, dipimpin oleh Saudara Adly Zahari untuk tempoh lima tahun akan datang menerusi kemenangan yang diberikan kepada calon Harapan pada 20 November 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad menegaskan adalah tidak munasabah bagi individu seperti Najib hendak diberi imbuhan RM100 juta sedangkan jenayah yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu amat besar mengakibatkan Malaysia menanggung hutang 1MDB yang amat besar.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta itu tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Esok, seramai 476,037 pemilih berdaftar bakal membuang undi pada PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran.

Sebanyak 12,290 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang.

PRN Melaka yang membabitkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka.