Gara-gara tidak memakai tali pinggang keledar, seramai 109 penumpang bas ekspres dan bas persiaran dikenakan kompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam tempoh dua hari penguatkuasaan peraturan itu.
Tindakan diambil JPJ Johor dalam Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di negeri itu bermula pada 1 Julai lalu dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Hal ini berikutan langkah JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk semua bas ekspres dan persiaran berkuat kuasa pada 1 Julai lalu dan peraturan ini terpakai bagi kenderaan yang dibina selepas Januari 2020.
Manakala bagi kenderaan yang dibina sebelum 2020 pula, JPJ akan memberikan tempoh tertentu kepada pihak pengurusan bas untuk memasang tali keledar di kerusi penumpang, lapor Berita Harian.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan memaklumkan bahawa pihaknya sudah memeriksa sebanyak 675 bas dan mengeluarkan 109 notis atau kompaun bernilai RM300 untuk setiap penumpang yang gagal memakainya.
“JPJ fokus dengan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap bas persiaran dan bas ekspres di bawah peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),
“Dalam tempoh dua hari, JPJ Johor sudah memeriksa 675 bas persiaran dan bas ekspres. Hasilnya, sebanyak 109 notis JPJ(P)22 atau kompaun bernilai RM300 setiap satu telah dikeluarkan kerana kegagalan penumpang memakai tali pinggang keledar,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Difahamkan, pemandu juga perlu memastikan kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300 setiap seorang.
Menurut Azmil Zainal, JPJ Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat, pemilik, pemandu serta penumpang yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan.
Azmin Zainal menjelaskan bahawa penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.
Sebarang aduan juga boleh dibuat secara terus atau masa nyata melalui Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel ke alamat [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.