Memisahkan agama dan politik punca pemimpin Melayu bergelumang rasuah

Oleh KIM SYAZIE

Cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan berpendapat, keruntuhan akhlak serta sikap materialisme yang mengejar kebendaan antara punca keretakan kesatuan dalam kalangan pemimpin Melayu Islam sehingga menyumbang kepada peningkatan rasuah.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi secara besar-besaran pasca 13 Mei 1969, dilihat sebagai kesempatan untuk orang Melayu terutama daripada golongan pemimpin untuk mendapat harta dan takhta, sehingga mereka lupa bahawa rasuah itu satu dosa besar.

“Mungkin pada mereka, Islam hanya keimanan yang melibatkan solat, pergi haji beberapa kali, maka sudah mencukupi.

“Pandangan berkenaan politik, ia adalah politik semata-mata, manakala bab agama adalah agama. Ia tidak boleh bercampur.

“Sikap seperti itu (ada) dalam diri pemimpin kebangsaan Melayu yang berpegang kepada dualisme dalam beragama. Bagi mereka, agama adalah ibadat khusus manakala politik dalam dunianya sendiri.

“Ini adalah pengaruh daripada kebendaan,” katanya memetik wawancara ekslusif Sinar Premium pada Ahad.

Justeru, tokoh ilmuan dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata, ada perkara yang perlu diperbaharui segera untuk menangani gejala rasuah dengan memastikan politik diseiringkan dengan agama.

Ini sekali gus dapat menentang amalan bahawa politik adalah politik, dan agama adalah agama.

“Politik adalah satu bidang ibadah dalam Islam. Ini satu gambaran yang begitu kontras dengan apa yang berlaku pada masa ini di mana politik dianggap bebas daripada agama.

“Maka kita perlu tanamkan semula dalam diri bahawa politik satu yang penting diseiringkan dengan agama. Politik ialah pengurusan dan pentadbiran urusan keduniaan yang perlu dilaksanakan dengan betul,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau juga mahu agar undang-undang perlu diperbaharui dengan meningkatkan jumlah penalti yang berlipat kali ganda kepada mereka yang bersalah dalam isu korupsi dan rasuah.

Jelas beliau, negara China dan Indonesia pernah mempunyai rekod paling teruk melibatkan fenomena korupsi, namun segalanya berubah apabila mereka mengambil tindakan tegas.

“Pemerintah komunis di China berusaha menangani korupsi kerana ia menimbulkan satu masalah besar kepada negara republik itu. Maka mereka memutuskan untuk mengenakan tindakan hukuman gantung kepada perasuah.

“Saya merasakan belum ada lagi di negara Islam mengenakan hukuman gantung kepada mereka yang didapati bersalah kerana perbuatan korupsi atau rasuah. Cuba kita buat seperti yang dilaksanakan oleh China itu. Barangkali isu korupsi akan terkawal. Insya-ALLAH,” katanya.