Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli mendesak kerajaan membatalkan segera notis pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selepas penduduk diarah pemaju untuk mengosongkan rumah mereka dengan pampasan rendah.
Beliau menegaskan, tindakan yang dibuat secara tergesa-gesa itu adalah satu penganiayaan serta penindasan yang sangat jelas terhadap penduduk dan pemilik tanah bergeran yang telahpun menetap di kawasan tersebut lebih 40 tahun.
“Tambahan pula, ‘pengusiran’ dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah ini dibuat dalam keadaan pandemik yang masih belum reda dan kehidupan rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi terutama untuk warga kota.
“Jumlah pampasan yang ditawarkan pula adalah sangat tidak munasabah iaitu sekitar RM400 kaki per segi sahaja dan jauh dari harga pasaran semasa” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pagi ini Malaysia Dateline melaporkan sebahagian penduduk Kampung Baru terkejut apabila mereka dipaksa berpindah oleh pihak pemaju keluar dari flat dan rumah mereka dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah yang dibenarkan kerajaan.
Mereka juga hanya diberikan pampasan serendah RM400 sekaki persegi berbanding tawaran dibuat Pakatan Harapan dahulu bernilai RM1,000 kaki persegi.
Menurut seorang penduduk, Nadia Liyana Alipah, ia bermula pada Julai lalu apabila penduduk di Kampung Sungai Baru, menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Ia berjaya diperolehi oleh pemaju yang memohon melalui Pejabat Tanah setelah penduduk tidak melayan permohonan pemaju sebelum itu.
Mohd Hatta berkata, pampasan yang diberikan adalah rendah walhal Menteri Wilayah Persekutuan, (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) dan perdana menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sendiri pernah menyatakan bahawa tanah di Kampung Baru hendaklah dinilai sebanyak RM3000 kaki persegi atau mengikut harga pasaran hartanah semasa.
Namun begitu katanya, seruan tersebut tidak kedengaran dalam kes di Kampung Sungai Baru ini.
“Justeru itu, AMANAH WP menggesa supaya kerajaan membatalkan segera notis pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik yang memihak kepada penduduk dan pemilik tanah di situ.
“Kerajaan juga perlu telus dan menjelaskan apakah tujuan sebenar pengambilan tanah itu dibuat, apakah benar untuk ‘public purpose’ ataupun untuk tujuan-tujuan komersial yang hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja seperti yang diuar-uarkan,” ujarnya.