Malaysia kembali merekodkan pencapaian terbaharu apabila kedudukan negara dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2026 melonjak lapan anak tangga ke tempat ke-15 dunia berbanding pada posisi ke-23, tahun lalu.
Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam, komuniti perniagaan dan semua pihak yang menyumbang dalam kejayaan ini.
Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook itu menjelaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil reformasi ekonomi Malaysia dan kestabilan politik sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara.
“Alhamdulillah, pencapaian ini membuktikan bahawa usaha reformasi ekonomi, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia berada pada landasan yang tepat.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan itu dalam perkongsian tersebut.
Dalam perkongsian sama, pemimpin nombor satu negara itu turut menekankan faktor utama yang juga menyumbang kepada kejayaan ini iaitu hasil kerja keras bersama dan tekad untuk mengangkat martabat Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Sekadar info, laporan penarafan tersebut dikeluarkan oleh International Institute for Management Development (IMD) yang mana Malaysia berada di kedudukan membanggakan iaitu ke-15 daripada keseluruhan 70 ekonomi global.
Kedudukan negara dalam laporan penarafan IMD itu dinilai dengan berpandukan taksiran empat teras utama merangkumi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Difahamkan setakat ini, Malaysia berjaya menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan pula merakamkan peningkatan kepada 11 anak tangga daripada kedudukan ke-14.
Rekod kecekapan perniagaan negara juga melonjak sebanyak 16 anak tangga ke tempat ke-16, manakala infrastruktur turut bertambah baik dengan kenaikan ke kedudukan ke-33 berbanding 31 sebelum ini.
Baca juga: Malaysia kini di kelompok terbaik, duduki tangga ke-15 Ranking Daya Saing Dunia