PRN12 Sarawak: AMANAH tampil lapan calon

Oleh KIM SYAZIE

AMANAH Negeri Sarawak menampilkan seramai lapan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, AMANAH meletakkan muka baru, Mohamad Zen Haji Peli yang bakal berhadapan dengan empat penjuru menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diwakili Dr Hazland Abang Hipni, Yatika Jelani daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Khairul Ahmat (Bebas).

Di kerusi DUN Samariang, AMANAH menurunkan Abang Abadul Halil Abang Naili yang juga merupakan Pengerusi AMANAH SARAWAK. Beliau akan ditentang oleh calon GPS iaitu Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali dan Othman Sarbini (PSB).

Seterusnya untuk kerusi DUN Gedong, calon muda dan merupakan muka baru Kamal Bujang yang mewakili AMANAH berdepan tentangan tiga penjuru iaitu calon GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak dan calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Manakala untuk kerusi DUN Muara Tuang telah menyaksikan pertembungan enam penjuru yang mana AMANAH diwakili Haji Daud Eali, menentang Hipni Sulaiman (SEDAR), Ismawi Muhammad (Bebas), Sigandam Sulaiman (PBK) dan Yakup Khalid (PSB) dan Datuk Idris Buang (GPS)

Kerusi DUN Sebuyau pula akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon AMANAH Maxwell Rojis, melawan Datuk Julaihi Narawi (GPS) dan Wan Chee Wan Mahjar (PBK).

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen yang bertanding di kerusi DUN Kabong. Hud Andri akan menentang calon GPS (Chee Kadir), Asri (PBK dan Wan Madehi (PSB).

Di kerusi DUN Semop, Mohd Fadillah Sabali yang juga Setiausaha AMANAH Sarawak berhadapan tentangan lima penjuru membabitkan wakil GPS Abdullah Saidol, Jenny Wong (PBK), Mohammad Adnan (Bebas) dan Abdul Raafidin (PSB).

Sementara itu, Ustazah Zainab Suhaili yang juga merupakan anak tempatan DUN Jemoreng yang mewakili AMANAH akan dicabar oleh calon Juanda Jaya (GPS) dan Dr Osman (Bebas).