Peguam Najib positif Covid-19, mohon tangguh perosiding kes

Oleh KIM SYAZIE

Firma guaman Datuk Seri Najib Razak, memohon penangguhan pendengaran untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdb Bhd yang dijadualkan didengar hari ini.

Ini susulan salah seorang anggota pasukan peguam mereka didapati positif Covid-19, manakala yang lain telah menjadi kontak rapat atau kontak kasual.

Permohonan dikemukakan firma guaman Tetuan Shafee & Co yang ditandatangani Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Rayuan melalui surat bertarikh semalam.

Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding hari ini dan esok kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif Covid-19 pada 6 Dis.

Katanya, ketika peguam pasukan pembelaan menyiapkan pemfailan hujahan bertulis bagi prosiding hari ini, dan ketika petang semalam, seorang daripada peguam menerima panggilan daripada ibunya yang menyatakan ibunya didapati positif Covid-19.

Muhammad Shafee berkata, beliau dan Muhammad Farhan bersama isteri dan anak lelakinya sebelum itu menghadiri sambutan dan perjumpaan bersama keluarga serta rakan terdekat yang turut dihadiri peguam terbabit dan ibunya, Sabtu lalu.

Katanya, selepas dimaklumkan oleh peguam mengenai hal itu, semua peguam yang berada di firma guaman berkenaan membuat ujian kendiri Covid-19 dengan Muhammad Farhan didapati positif melalui tiga kit ujian berbeza, manakala peguam lain menunjukkan keputusan negatif.

“Tambahan pula, anak guam kami (Najib) hadir di pejabat bagi tujuan semakan dan mengikrarkan afidavit yang difaikan semalam.

“Oleh itu, semua status aplikasi MySejahtera milik semua yang terbabit berubah kepada sama ada kontak rapat atau kontak kasual dengan masing-masing sedang menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19.

“Oleh kerana perkara di atas, pihak kami mempunyai tanggungjawab sosial kepada mahkamah dan pihak terbabit untuk memaklumkan perkara ini. Kami dengan rendah diri memohon pertimbangan mahkamah untuk melapangkan tarikh pendengaran hari ini dan esok (keputusan) memandangkan perkara yang terjadi,” katanya.

bagaimanapun, seorang pegawai mahkamah berkata, perbicaraan pagi ini akan diteruskan secara hibrid di mana panel hakim dan pihak pendakwaan akan berada di mahkamah terbuka manakala pasukan pembelaan akan mengambil bahagian melalui Zoom.

Esok, Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada untuk membebaskan Najib atau mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd.

Sepanjang tujuh bulan lalu, pasukan pembelaan mengemukakan rayuan dengan 307 alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan.