Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional bersedia menawarkan bantuan membayar denda berjumlah RM4,000 bagi pihak remaja yang dijatuhkan hukuman bersalah atas cubaan mencuri wang dari tabung masjid.
Ketuanya, Aiman Athirah berkata, pihaknya turut bersedia menyediakan bantuan-bantuan advokasi dan kaunseling jika diperlukan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang remaja berusia 19 tahun itu, untuk menyalurkannya kepada AWAN agar bantuan dapat disegerakan.
“Boleh sesiapa bantu saya dapatkan maklumat tentang remaja ini dan keluarganya. Barangkali ada yang boleh kita bantu.
“Setiap kita diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan masing-masing apatah lagi di era kesan pandemik Covid-19 yang sangat menekan, kita mungkin tidak memahami situasi remaja ini.
“Remaja ini diuji dengan segala kekurangan dan jangan lupa kita pula sedang diuji dengan kekurangan rasa empati dan kemanusiaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Dalam hantaran berasingan, Aiman Athirah turut menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kariah masjid yang menghukum remaja berkenaan dengan melakukan ‘mandi jenazah’.
Menurutnya, tindakan tersebut lebih kepada membuli remaja yang sedang susah.
Beliau turut mengingatkan, hukuman dalam Islam adalah bertujuan mendidik dan bukannya menghina apatah lagi memalukan.
“Hentikan penyebaran video hukuman mandi jenazah itu dan mereka yang terlibat wajar dikenakan tindakan kesedaran. Satu kesalahan tidak akan dapat dibetulkan dengan kesalahan yang lain,” ujarnya.