Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, tidak menolak keperluan bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dibubarkan sewenang-wenangnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkenaan juga berkata, apabila kerajaan negeri memiliki majoriti amat tipis, pihaknya perlu lebih sensitif terhadap kestabilan kerajaan.
“Mengenai keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak begitu saja. Kita perlu kaji dan perlu tengok perkara itu. Suara daripada pelbagai pihak (mengenai PRN) tidak boleh diabaikan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenang-wenangnya menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk bubar DUN.
“Ia ada peraturannya, ada syaratnya. Jadi ini harus dipatuhi dan tidak boleh sesuka hati mengisytiharkan atau menasihat bubar atau tidak dan sebagainya,” dipetik BH.
Untuk rekod, kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.
Dari segi agihan kerusi semasa, Umno dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), manakala AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).