Pengguna jalan raya dilihat berang dengan kegagalan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk berfungsi sehingga mengakibatkan kesesakan di lorong tol.
Orang ramai meluahkan rasa kecewa mereka di Twitter berhubung pelaksanaan sistem itu dengan lebih 14,500 ciapan setakat jam 7.30 pagi tadi.
Rata-rata pengguna jalan raya berkongsikan pengalaman terpaksa beralih ke lorong Touch ‘n Go (TNG) selepas gagal melakukan pembayaran menerusi RFID.

Pengguna Twitter, Aiman Psikologi memberitahu plaza tol di kawasan rumahnya semalam telah ‘merobohkan’ lorong Smart Tag dan tukar menjadi RFID manakala lorong TNG kekal seperti biasa.
“Cuba teka apa terjadi? Penuh adegan lampu reverse kereta menyala.
“Mana entah sebelum ini ada poster kata ‘ditukar secara perlahan-lahan’,” katanya.
Sementara itu, @mrzack82 berpendapat perlu ada langkah penyelesaian yang berkesan tanpa menjejaskan aliran trafik apabila sistem RFID gagal untuk berfungsi.
“Kalau ada masalah, penyelesaian yang ada hanyalah reverse kereta. Patutnya, buatlah scan barcode e-wallet tu sebagai alternatif,” katanya.
Bagi @miniminimira pula, dia sudah ‘malas’ hendak menggunakan laluan RFID di plaza tol lagi selepas beberapa kali ‘terkena’ dengan RFID.
“Banyak kali dah terkena dengan RFID ni. Kereta depan tak detect. Dia detect kereta kita. Kita pulak yang bayar untuk kereta depan. Malas nak lalu RFID dah,” ujarnya.
Malah, ada warganet dilihat terlalu geram dengan pelaksanaan sistem RFID seperti diluahkan @parkmart2010
“Sistem RFID TnG mmg bodoh tahap tak pergi sekolah. Siapa yang reka dan luluskan wajib kena rejam dengan batu oleh pengguna jalan raya secara berjemaah,” tegasnya.