PM Anwar terima kunjungan Dr Ali Rashid Al Nuaimi, teroka kerjasama Malaysia-UAE

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua buah negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bertemu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara, Majlis Kebangsaan Persekutuan Emiriah Arab UAE, Dr. Ali Rashid Al Nuaimi.

Difahamkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menerima kunjungan hormat daripada Dr Ali Rashid di ibu negara hari ini di mana kedua-dua pemimpin terbabit mengadakan perbincangan untuk meneroka kerjasama strategik dua hala.

Anwar menerusi perkongsian di platform Facebook juga memberitahu bahawa perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai perkembangan geopolitik semasa susulan konflik di Asia Barat.

“Menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara, Majlis Kebangsaan Persekutuan UAE, Dr. Ali Rashid Al Nuaimi, petang tadi.

“Saya menghargai komitmen UAE untuk terus memperkukuh hubungan erat dengan Malaysia, khususnya dalam meneroka bidang kerjasama strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan ini, kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik semasa, termasuk berhubung konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran serta implikasinya terhadap rantau ini,” kata Anwar dalam perkongsian itu.

Dalam pada itu, kepentingan penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam sektor pertahanan dan tadbir urus negara turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Pengalaman UAE dalam menyediakan latihan AI kepada para menteri dan pihak pengurusan tertinggi kerajaan sebagai persediaan menghadapi cabaran teknologi turut dikongsikan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.

“Saya menyambut baik perkongsian pengalaman UAE yang mewajibkan para menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan mengikuti latihan AI bagi memastikan kepimpinan sentiasa bersedia mendepani perubahan teknologi yang semakin pesat.” Ujarnya.

Baca juga: RM400 dah mula masuk! Petani dan pekebun kecil jangan terlepas semak bantuan ini