Kira-Kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 Shah Alam dilapor rosak akibat hujan lebat dan ribut petang semalam.
Kejadian ribut disertai hujan batu di kawasan itu menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang dan mengakibatkan kawasan sekitar kampung itu masih bergelap sehingga malam tadi kerana terputus bekalan elektrik.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menerusi tinjauannya lewat malam tadi ke Kampung Kebun Bunga memaklumkan, kerja-kerja pembersihan sedang giat digerakkan dengan bantuan pasukan bomba.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan penduduk setempat, menurut Khalid.
“Hujan lebat beserta ribut yang kuat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam terjejas.
“Selepas live di studio saya terus ke Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga sebentar tadi bagi meninjau kerja-kerja pembersihan.
“Kira-kira 40 buah rumah terjejas dan mengalami kerosakan akibat angin kuat yang melanda. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan penduduk. Semoga mereka tabah sementelah baru sebulan dilanda musibah banjir,” katanya dalam ciapan Twitternya lewat malam tadi.

Sejak petang semalam, hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan menyebabkan pokok tumbang dan bumbung premis tercabut termasuk di parkir sebuah pasar raya besar di Seksyen 13.
Hujan lebat yang melanda turut mengakibatkan kerosakan pada bangunan di Politeknik Premiere Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13.
Sebanyak 10 kenderaan awam turut dilapor rosak akibat dihempap pokok dan bumbung dalam dua kejadian di sekitar Seksyen 13 semalam.