Hubungan dalam PH tidak akan terjejas biarpun guna logo berlainan, kata Anwar

Oleh KIM SYAZIE

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan parti itu menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang, tidak akan menjejaskan hubungan dalam kalangan parti pembangkang.

Beliau berkata, kontroversi membabitkan penggunaan logo itu bukanlah satu isu dan ada yang mempermainkannya seolah-olah ini kali pertama PKR memutuskan untuk bertanding di bawah logonya sendiri.

Beliau mengingatkan semula bahawa PKR, DAP dan Pas juga pernah bertanding pada pilihan raya umum 2013 menggunakan simbol mereka sendiri, walaupun mereka berada dalam gabungan Pakatan Rakyat ketika itu, dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah ketika itu.

“Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) masih kukuh.

“Ada pihak yang menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan kita. Tapi dasar dan manifesto kami kekal sama,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Seremban.

Anwar menambah, parti itu memutuskan untuk menggunakan logo sendiri berikutan sentimen dalam kalangan pengundi luar bandar yang lebih mengenali logo PKR.

Terdahulu, PKR memutuskan untuk bertanding di bawah logonya sendiri, manakala AMANAH dan DAP akan bertanding di bawah logo besar Pakatan Harapan.

Perkara tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak dan tidak terlepas dari dalam gabungan itu sendiri.

Bagaimanapun AMANAH dan DAP menghormati keputusan rakan sekutu mereka itu dan walau apapun keputusan PKR, kedua-dua mereka menyatakan akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan PH dalam PRN Johor.