Masyarakat majmuk rahmat untuk kita saling mengenali, menghormati

Oleh ARIF ATAN

Saya mewakili keluarga besar AMANAH, mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang merayakannya.

Sempena perayaan terpenting bagi kaum Tionghoa tahun ini, kita menyeru semua kaum dan agama untuk terus memelihara tradisi perpaduan dan persefahaman.

Kita tidak sesekali harus memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencetuskan api perkauman, yang pastinya akan meruntuhkan keharmonian yang kita bina sejak sekian lama.

Kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia merupakan suatu rahmat kepada kita untuk kita saling kenal mengenali dan menghormati adat tradisi serta kepercayaan masing-masing.

Bagi kaum Tionghoa, Tahun Baru Cina dianggap sebagai detik permulaan dan titik permulaan juga penentuan nasib dalam menjalani kehidupan yang mendatang.

Maka kita mengharapkan agar kedatangan Tahun Harimau kali ini akan memacu semangat mereka, untuk terus kuat bekerja, berkerjasama erat dengan semua kaum bagi memakmurkan negara dan membantu negara keluar dari kemelut ekonomi.

Kita tegaskan komitmen untuk kukuhkan persefahaman dan kesepakatan antara kaum, bagi menzahirkan keceriaan serta kemakmuran yang dinikmati rakyat selama ini, terus berkekalan.