Dengan bajet RM30,000 guru ubahsuai 2 buah Kancil jadi kenderaan klasik, ranggi

Oleh NASUHA RAHMAN

Berbekalkan peruntukan sebanyak RM30,000 guru berjaya mengubahsuai dua buah kereta kancil 850 generasi kedua bertukar menjadi sebuah kenderaan yang klasik dan ranggi.

Kenderaan ranggi itu diberi nama The Traveller’s yang diinspirasikan daripada model Chevrolet 3100 dihasilkan oleh 12 tenaga pengajar Giat Mara Negeri Sembilan.

Mereka telah menyahut cabaran untuk menyertai pertandingan Reka Cipta Giat Mara Custom Car Challenge (GM3C) 2021 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Dengan mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan projek tersebut, mereka sepakat untuk memilih kategori inovasi kenderaan pengangkutan pelancongan untuk berentap dengan 13 Giat Mara di seluruh negara.

Dengan bajet RM30,000 guru ubahsuai 2 buah Kancil jadi kenderaan klasik, ranggi
Salah seorang ahli pasukan, Norazalizam Mohd. Noor memeriksa enjin The Traveller’s di Pusat Giat Mara Jempol.

Konsep atau tema yang digariskan adalah inovasi kenderaan pengangkutan pelancongan, perniagaan, pengangkut barangan pertanian dan latihan bergerak.

Ketua Projek, Tc. Maz Lizuardi Shahrizal Ab. Rahman mengakui proses yang paling sukar adalah untuk mereka bentuk semula bahagian hadapan agar nampak seperti sebuah kereta klasik yang ranggi.

“Untuk menyiapkan bahagian itu, ia mengambil masa paling lama kerana bagi mendapatkan reka bentuk yang sempurna, adakalanya perlu membuat proses yang sama dua hingga tiga kali,” katanya dipetik Kosmo.

Tambahnya, bahagian belakang kenderaan itu boleh memuatkan sebuah motosikal Harley-Davidson Sportster, sesuai dengan konsep atau tema pilihan pasukan itu.

“The Traveller’s mempunyai treler yang boleh ditunda di belakang untuk membawa barang-barang dan turut dilengkapi tenaga solar.

“Untuk kelihatan lengkap, kami meletakkan sebuah basikal yang sudah kustom mirip sebuah motosikal Harley-Davidson klasik,” tambahnya.

Jelasnya, semua 12 orang tenaga pengajar yang terlibat memberikan komitmen penuh dari mula sehingga The Traveller’s siap sepenuhnya.

“Kami bersyukur kerana setiap seorang daripada kami mempunyai kepakaran masing-masing semasa proses menyiapkan kenderaan yang agak unik ini.

“Walaupun ada antaranya tidak pernah membuat kerja-kerja fiber dan sebagainya, semua memainkan peranan masing-masing untuk menyiapkannya dalam masa yang agak singkat,” jelasnya.