Tak sangka Anuar Zain pernah kena sindir tumpang populariti kakak masa kerja pramugara, puncanya…

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu suara penyanyi adik beradik Ziana Zain dan Anuar Zain memang antara yang terbaik di Malaysia.

Malah keunikan suara Anuar Zain juga menyebabkan peminat dapat membezakan lagunya dan penyanyi lelaki lain.

Meskipun sudah lama dalam industri, Anuar mendedahkan dirinya sendiri pernah menjadi mangsa sindiran konon dia menumpang populariti Ziana lapor Kosmo! Online.

“Kejadian itu berlaku sewaktu saya menemani Ziana membuat persembahan. Ketika itu saya tidak pernah terfikir untuk kembali aktif sebagai penyanyi kerana saya bertugas sebagai pramugara.

“Lagipun ketika itu penyanyi lelaki tak ramai yang menyerlah selain M Nasir, Jamal Abdillah, Amy Search dan Zamani Slam.

“Sewaktu saya sedang menemani Ziana, tiba-tiba ada individu menyindir saya cakap ‘kesian Anuar tu nak menyanyi balik tetapi terpaksa menempel dekat kakak dia’. Sampai macam tu sekali saya kena.

“Tetapi saya cuma senyum sahaja. Dalam hidup ini kita tidak boleh ambil pusing cakap-cakap orang. Senyum sahaja tak perlu simpan dalam hati kerana rezeki orang kita tak tahu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Namun penyanyi lagu ‘Lelaki Ini’ tidak mengendahkan segala komen negatif yang dilempar kepadanya sejak dahulu lagi.

“Saya praktikkan perkara itu sampai sekarang. Dalam zaman media sosial itu lebih mudah untuk netizen berkata-kata.

“Tetapi saya ambil pendekatan untuk tidak baca komen negatif. Kadang-kadang mereka sekadar mahukan perhatian kita.

“Saya hanya baca mesej yang diberikan dalam akaun media sosial saya kerana kebanyakan adalah mesej-mesej yang positif daripada peminat.

“Ucapan hari lahir atau sekadar nak tanya khabar. Kalau ada permintaan yang tidak sepatutnya, saya tak akan balas,” tambahnya.

Baca juga: Suruh budak ‘kiss’ lepas balik sekolah, Caprice dedah lagi kes libatkan kanak-kanak bawah umur