Ketua Angkatan Wanita (AWAN) AMANAH negeri Kelantan, Dr. Hafizah Mustakim mahu kesedaran dipertingkatkan kepada rakyat Kelantan khususnya di kalangan wanita bahawa menukar kerajaan bukan satu kesalahan agama.
“Begitu ramai terutama di kalangan wanita yang termakan ugutan kononnya sesiapa yang mahu menukar kerajaan di negeri ini seolah-olah menentang agama,” katanya di majlis dialog anjuran Save Kelantan di Ketereh pagi tadi.
Menurutnya gerakan Save Kelantan yang membuat pendedahan sistematik berkaitan kegagalan pemerintahan negeri itu memang baik tetapi tanpa pemahaman menyeluruh matlamat sukar dicapai.
“Gerakan ini perlu menggandakan usaha dan menggunakan pelbagai teknik hingga seluruh rakyat mendapat kefahaman jelas keperluan menukar kerajaan bagi menyelamatkan masa depan negeri ini,” katanya.
Sebelum itu dalam sesi dialog, pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa menyatakan gerakan itu adalah sebuah gerakan rakyat.
“Islam adalah identiti asas rakyat Kelantan jadi jika muncul sebuah kerajaan baru ia tetap berteraskan Islam,” katanya.
Dengan membuat bandingan sebuah jawatankuasa masjid beliau berkata sama ada dalam pemilihan ia tetap bertujuan menjaga masjid.
“Tak kan kalau pilih jawatankuasa baru, masjid bertukar menjadi kuil,” katanya.
Selepas lebih 30 tahun mentadbir Kelantan, pencapaian kerajaan negeri pimpinan Pas semakin merosot apabila banyak masalah rakyat gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Selain itu masalah baharu pula banyak yang dibuat hasil kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.
Antara puncanya adalah kelemahan kepimpinan kerajaan negeri yang hanya bersandarkan retorik agama semata-mata tanpa pengisian yang boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat.
Namun, apabila rakyat mahu berubah, mereka diugut dengan dakwaan ia melawan ulama dan menentang Islam.

Antara masalah besar rakyat Kelantan yang gagal diselesaikan kerajaan negeri adalah masalah air.
Kalau selama ini ia didakwa sebagai sabotaj dari kerajaan pusat tetapi selepas air dijaga oleh menteri dari Pas, ia gagal diselesaikan juga.
Masalah baharu yang disebabkan oleh kelemahan kerajaan negeri adalah pemusnahan Hutan Simpan Kekal (HSK) atas nama mahu membuat ladang hutan.
Isu ini kini menjadi agenda untuk gerakan Save Kelantan yang dipimpin Husam bersama Hishamuddin Ghazali, dua bekas pemimpin utama AMANAH di Kelantan.