Dua lelaki maut, tercampak keluar selepas berlanggar dengan Hilux

Oleh KIM SYAZIE

Dua lelaki maut selepas tercampak dari kereta dinaiki mereka yang dipercayai terbabas dan kemudian berlanggar dengan sebuah pikap jenis Hilux.

Dalam kejadian jam 2 pagi di kilometer 56 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Ladang Serasa hari ini, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohd Nurhisyam Hilmi Abdul Rahim, 37, dan penumpang hadapan, Mohd Zulkanain Aziz, 35, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Seorang lagi rakan mereka, Rahmatullah Amzah, 36, pula mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintanden Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati, ketika kejadian Perodua Myvi itu dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.

“Setiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan.

“Kereta tersebut kemudian naik semula ke atas jalan raya lalu berlanggar dengan sebuah Hilux yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Choon Foo berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi tercampak keluar dari kereta tersebut dan jatuh dalam longkang di sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang.

Katanya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda jenis Hilux berusia 32 tahun bersama tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun seorang lagi penumpang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan di rawat di HSIP.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Baca Juga: Khalid jawab isu Gelombang Hitam: “Mereka tolak tawaran bersama kerajaan, sekarang mereka dengki”

Baca Juga: Komposisi Jemaah Menteri berbilang kaum stabilkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan