Opai berhabis RM4,000 lebih beli 4KG daging wagyu, buat rendang di Hari Raya Aidiladha

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pempengaruh yang juga usahawan dikenali sebagai Opai sanggup mengeluarkan belanja sebanyak RM4,000 hanya untuk membeli empat kilogram (kg) daging wagyu.

Daging ‘kayangan’ berkualiti tinggi jenis Miyazaki gred A5 tersebut kemudian digunakan oleh pemilik nama sebenar Aliff Awang itu untuk memasak rendang sebagai juadah Hari Raya Aidiladha.

Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok miliknya, Opai memaklumkan bahawa daging wagyu bahagian batang pinang atau ‘tenderloin’ yang dibelinya itu biasanya dijual dengan harga RM1,600 sekilogram.

Namun usahawan berusia 31 tahun berkenaan mendapat potongan harga sekitar 50 peratus (%) dari penjual daging yang juga rakan baiknya menjadikan bayaran perlu dibuat hanyalah RM4,000 lebih.

Menurut Opai, bahagian batang pinang dipilih berikutan memiliki kurang lemak berbanding ‘rib-eye’ atau rusuk sebelum memasukkan daging wagyu itu dalam rendang yang disiapkan oleh ibu, isteri dan pembantu rumahnya.

“Rendang ini ibu saya buat bersama isteri dan pembantu rumah. Mereka minta belikan daging, saya cakaplah yang ibu kena guna daging A5 Miyazaki. Hari ini kita gunakan bahagian tenderloin. Tak berlemak macam rib-eye.

“Sebab itu bahagian ini kurang ‘marbling’ (corak marmar). Kita akan jadikan rendang. InsyaAllah, saya diberi rezeki isteri yang baik, ibu dan bapa juga sihat serta anak-anak penghafal Al-Quran.

“Rendang ini paling sedap di dunia sebab ibu saya masak. Rendang kedua sedap dimasak oleh mak mentua dan yang ketiga adalah masakan ibu saudara saya,” ujar Opai ketika memasukkan daging ke dalam periuk sambil berdoa.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna menyifatkan tujuan Opai membeli daging lembu wagyu dengan harga sedemikian adalah untuk membahagiakan keluarganya.

Meskipun beberapa individu beranggapan Opai seperti bersikap ‘berlagak’ dengan membuat perkongsian itu, namun sebahagian besar pengguna dilihat memberikan komen yang positif.

“Memang sudah di tahap lain yang cari rezeki dan kena kaya sebab nak senangkan mak ayah dan isteri. Suami yang sempurna, Fatin. Tahniah,” kata seorang pengguna memuji suami kepada pelakon iaitu Fatin Afeefa itu.

“Rezeki kau Adik, RM4,000 itu adalah dua bulan gaji untuk Kakak. Allahu Akbar, murah rezeki kamu. Daging korban juga Alhamdulillah, sedap sangat. Buat masak kicap.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Makan pasta RM250, sewa rumah cecah RM11k – Lelaki ini syukur hidup di Malaysia lepas lawat Hong Kong