“Syabas YB! Kami menghargai keprihatinan anda kepada rakyat!
Itu antara reaksi netizen di laman sosial apabila melihat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sekali lagi membuat tinjauan ‘mengejut’ bagi melihat situasi sebenar pengangkutan awam di negara ini.
Sebelum ini, Loke turut melakukan ‘penyamaran’ sebagai penumpang dengan meninjau sendiri perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).
Kali ini, beliau meninjau perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan pada waktu puncak iaitu petang tadi.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, beliau mengambil tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantunya.
Katanya, beliau menerima banyak maklum balas daripada media sosial berkaitan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.
“Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambah baik dan menambah kekerapan perkhidmatan Komuter.
“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaik taraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.
“Saya juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan,” katanya seperti ditulis di laman Facebook beliau.
Rata-rata pengguna laman sosial memuji tindakan Loke yang turut sama turun padang bagi menyelami masalah dihadapi pengguna pengangkutan awam.
“Terbaik YB! Betul-betul turun padang!”
“Terbaik YB! Laju buat kerja!
Malah pada masa sama, ada netizen yang turut mengingatkan beliau agar menjaga kesihatan.
Baca Juga: Anggota polis meninggal dunia selepas digilis kenderaan
Baca Juga: Ekonomi negara kembali mengukuh pasca Covid-19, kerajaan berusaha tarik pelaburan berkualiti