Pastinya remaja akan melakukan apa sahaja jenis pekerjaan demi mendapatkan wang saku atau sumber pendapatan, apatah lagi jika ditawarkan dengan gaji lumayan.
Namun niat baik remaja ini disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menjadikan peluang pekerjaan sebagai umpan untuk mencari mangsa.
Penemuan remaja berusia 14 tahun yang hilang di makmal Islamabad membongkar sindiket pemerdagangan organ manusia.
Mangsa tersebut dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan sebelum bertindak membedah dan mengeluarkan organ terutama buah pinggang untuk dijual pada harga sehingga 900,000 rupee (kira-kira RM4,800).
“Hanya selepas mendapat bukti dan petunjuk barulah kami tahu adanya kegiatan pemerdagangan organ di sebalik kehilangan remaja itu.
“Remaja lelaki itu memberitahu kami apabila dia bangun terdapat seorang lelaki Arab di atas pengusung di sebelahnya, jadi kami fikir kebanyakan pelanggan adalah warga asing,” kata Rehan Anjum, jurucakap polis Punjab, kepada AFP baru-baru ini.
Mangsa kumpulan itu dibawa ke makmal ujian perubatan yang digunakan untuk pembedahan pemindahan organ secara rahsia di bandar garrison Rawalpindi, berhampiran ibu negara Pakistan.
Pembedahan sulit itu sering dilakukan dalam keadaan kekurangan peralatan dan piawaian perubatan yang sesuai. Ada pesakit diketahui meninggal dunia akibat komplikasi prosedur itu.
“Saya hanya bersyukur kerana polis menemuinya dalam keadaan hidup, jika tidak mereka akan membiarkannya mati,” kata bapa remaja yang hilang itu kepada AFP di Lahore.
Berikutan penemuan remaja tersebut, enam individu disyaki dalam aktiviti terbabit ditahan pihak berkuasa.
Baca juga: Ibu tak sedar anak perempuan tiga tahun lemas dalam mesin basuh