Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru pengundi di Johor yang masih belum menunaikan tanggungjawab supaya segera keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup.
SPR menerusi hantaran di Facebook berkata, masa semakin suntuk dan pengundi yang masih belum berbuat demikian diminta tidak melepaskan peluang menggunakan hak mereka untuk menentukan masa depan negeri.
“Buat warga Johor yang masih belum menunaikan tanggungjawab, ayuh kita ambil langkah terbaik dengan keluar mengundi sekarang demi masa depan negara.
“Pusat pengundian bakal ditutup tidak lama lagi. Pastikan anda tidak melepaskan peluang dan hak penting ini,” menurut SPR.
Berdasarkan statistik SPR, peratusan keseluruhan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16 setakat jam 2 petang adalah 48.91 peratus, membabitkan 1,312,152 daripada 2,682,642 pengundi.
Angka itu lebih tinggi berbanding kadar keluar mengundi pada tempoh sama ketika PRU DN Johor ke-15 pada 2022 yang merekodkan 39.71 peratus, membabitkan 1,022,412 daripada 2,574,835 pengundi.
Setakat jam 2 petang, DUN Semarang mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 57.8 peratus, diikuti Sedili (56.6 peratus) dan Kahang (56 peratus).
Sementara itu, antara kawasan yang merekodkan peratusan terendah ialah Penggaram (39.6 peratus), Bentayan (40.4 peratus) dan Simpang Jeram (43 peratus).
SPR turut menggesa pengundi supaya segera menuju ke pusat pengundian masing-masing sebelum waktu mengundi berakhir.
“Segera ke pusat pengundian berhampiran anda. Ayuh Johor, kita lakukan bahagian kita!” katanya.
Baca juga: Malaysia-Thailand buka lembaran baru, akan kerjasama laksana inisiatif ini demi rakyat