Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengalami kecederaan di mata kiri selepas ditolak oleh Azhan Rani sehingga terhentak pada bucu katil.
Difahamkan, akibat insiden tersebut, tulang mata kiri isteri Aidil Aziz itu patah dan bebola matanya turut mengalami pendarahan.
Kejadian tersebut berlaku ketika dua pelakon berkenaan sedang menjalani penggambaran sebuah drama di selatan tanah air.
Pihak produksi telah tampil memohon maaf dan aktres itu kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital pakar di Johor Bahru.
Video babak pergaduhan itu tular di media sosial dan Fasha segera mengeluarkan kenyataan menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya.
“Mata dan kepalanya (Fasha) terhentak pada bucu katil yang tajam. Tulang mata kirinya patah dan bebola mata berdarah serta bengkak.
“Kakak sedang dirawat di sebuah hospital pakar di Johor Bahru. InsyaAllah akan dipindahkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, babak pergaduhan itu bakal ditayangkan dalam drama terbitan TV3 berjudul Anak Tuan arahan Along Kamaludin.
Bersikap profesional, Fasha Sandha enggan menyalahkan mana-mana individu atas kejadian yang berlaku di luar jangkaan itu.