Penyanyi Dafi mengakui sejak bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, dia kehilangan satu demi satu pekerjaan dalam industri hiburan.
Menurutnya, ada kontrak pekerjaan yang sudah dipersetujui, dibatalkan begitu sahaja sedangkan sebelum itu ‘beriya-iya’ memberi tawaran.
“Tawaran bekerja bukan tiada langsung, memang ada, tapi ada juga yang dah dipersetujui tapi dibatalkan begitu saja. Tiba-tiba mereka beritahu tak jadi sedangkan sebelum itu beriya-iya bagi tawaran,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kata Dafi lagi, dia sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan beranggapan bahawa orang di luar sana tidak faham bahawa dia tidak ada kena mengena dengan karier politik bapanya itu.
“Bila dah tiada apa-apa, semuanya lesap macam itu saja. Masa ayah dilantik jadi PM, saya balas mesej dari jam 5 petang sampai 9 pagi esok. Mereka yang dah lama hilang pun tiba-tiba bertanya khabar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah bercakap soal politik ketika bapanya memegang tampuk pemerintahan dan tak pernah mendapat apa-apa keistimewaan pun
“Orang selalu cakap Dafi senanglah sebab anak ‘seseorang’. Bukan nak cakap besar, kalau saya nak guna ayah saya, mungkin kedudukan saya bawah sikit dari Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Tapi ayah saya bukan jenis begitu. Dia pun bermula dari bawah. Maknanya dia tahu rasa puas itu datang bila semua itu dapat sendiri. Kami anak-anak tak dapat apa keistimewaan pun,” katanya.
Menurutnya, orang tidak nampak tetapi menuduh macam-macam terhadap mereka.
“Mereka tak tahu situasi sebenarnya. Malah waktu-waktu tiada tawaran kerja, saya pernah pecahkan tabung berisi duit syiling bawa ke bank untuk ditukar buat belanja sampai hujung bulan.
“Ayah tak bagi duit pun. Saya pun bukan jenis meminta-minta. Memang malu apabila dah besar masih mengharapkan mereka,” katanya.