Gara-gara cuaca panas yang sedang melanda negara, sekitar 20 keluarga Orang Asli membuat keputusan untuk berpindah masuk ke hutan.
Difahamkan, sekumpulan orang Asli tersebut berasal suku Semaq Beri yang menduduki Kampung Berua, Kuala Berang, Terengganu.
Nekad hidup di hutan sejak tiga bulan lalu, mereka turut membawa binatang peliharaan untuk tinggal bersama di sekitar Tasik Kenyir.
Ketua kumpulan Orang Asli yang dikenali sebagai Hitam Keladi berkata, mereka mula membina penempatan kawasan itu dengan mendirikan khemah.
Hal ini kerana, suhu di dalam rumah yang mereka duduki saat ini terlalu panas lantaran ia dibina dengan menggunakan konkrit.
Namun, pemimpin yang berusia 60 tahun itu memaklumkan bahawa perpindahan tersebut hanyalah bersifat sementara.
“Rumah di Kampung Berua diperbuat daripada konkrit dan suasana di dalam rumah sangat panas.
“Kami memutuskan membawa ahli keluarga dan haiwan peliharaan berpindah sementara di dalam hutan.
Suasana di dalam hutan ini lebih selesa dan nyaman selain udaranya segar. Sumber makanan seperti ikan juga mudah ditangkap di dalam tasik,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cuaca panas ini dijangka berlarutan hingga bulan Ogos.
Baca juga: “Panggil saya Kit”, pemimpin DAP enggan digelar Tan Sri selepas terima anugerah