Jadi pengantin baru di usia 80 tahun, datuk sanding serentak dengan anak, cucu

Oleh KIM SYAZIE

Jodoh tidak mengenal usia, seorang warga emas di Pontian, Johor, kembali menjadi ‘pengantin baru’ di usianya yang mencecah 80 tahun.

Bersama wang hantaran RM5,000, datuk kepada 15 orang cucu dan tiga cicit itu sah bernikah dengan pasangannya pada 1 Jun lalu.

Lebih menarik, Ahmad Omar bernikah di bulan yang sama dengan anaknya, Rozita pada 3 Jun dan cucunya, Nurhazimah, pada 30 Jun.

Detik yang bersejarah, tiga generasi ini turut bersanding secara serentak dalam satu majlis di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian.

Diraikan oleh kira-kira 3,000 tetamu, majlis bersanding yang penuh bermakna itu berlangsung dengan meriah, semalam.

Menurut Ahmad, majlis itu dapat berjalan lancar dengan hasil permuafakatan semua pihak termasuk ahli keluarga pengantin.

Ahmad yang bekerja sebagai petani itu turut menghargai semua pihak yang bertungkus-lumus membantu menguruskan majlis.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak, termasuk penduduk kampung serta saudara-mara yang membantu menguruskan majlis,” katanya.

Anak bongsu Ahmad yang berusia 45 tahun iaitu Rozita turut mendoakan agar perkahwinan mereka bertiga sentiasa dirahmati Allah.

“Siapa sangka, tiga generasi bersanding di pelamin yang sama, hari yang sama. Saya berdoa supaya perkahwinan kami sentiasa dirahmati Allah.” Doanya.

Majlis bersanding itu diadakan di rumah bapa kepada Nurhazimah (cucu) iaitu Mohd Hussin Jambari, lapor Harian Metro.

Baca juga: Ramai tak tahu sebenarnya Sultan Johor tak pernah gagal bayar cukai setiap tahun