Jalin hubungan intim dengan pelajar, guru yang popular di TikTok ditahan polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang guru bahasa Inggeris yang popular di laman TikTok dilaporkan telah ditahan polis selepas melakukan hubungan intim dengan seorang pelajar.

Pemuda berusia 29 tahun itu didakwa telah berulang kali melakukan hubungan terlarang tersebut bersama seorang pelajar perempuan di bawah umur.

Jenayah guru sekolah swasta tersebut mula terbongkar apabila gadis berusia 16 tahun itu jatuh sakit dipercayai berpunca daripada penyakit jangkitan kelamin (STI).

Ibu kepada gadis itu memaklumkan bahawa anaknya mula mengalami kesakitan yang teruk di bahagian abdomen atau perut sebelum segera dikejarkan ke hospital.

Pakar perubatan kemudian mengesahkan gadis itu mengalami penyakit kelamin Chlamydia dan Gonorrhea yang dipercayai dijangkiti daripada guru tersebut.

Selepas dipaksa, gadis itu akhirnya membuka suara dan memberitahu ibunya mengenai hubungan intim yang dijalaninya bersama guru tersebut.

Difahamkan, hubungan mereka bermula apabila guru yang dikenali sebagai Luke itu menghubungi gadis berkenaan dengan menggunakan akaun sosial media miliknya.

Memetik laporan Daily Mail, Luke yang mengajar di sebuah sekolah swasta yang terletak di Bangkok, Thailand itu telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.

“Anak perempuan saya sering bertukar mesej dengan Cikgu Luke selama berbulan-bulan menggunakan telefon saya. Dia akan memadam mesej selepas selesai berbual.

“Mereka bertemu dan melakukan hubungan intim tanpa pengetahuan saya. Kemudian anak perempuan saya dijangkiti Chlamydia dan Gonorrhea daripadanya.

“Saya tidak membuat laporan polis untuk mendapatkan wang atau pampasan. Saya ingin memberi kesedaran terutamanya kepada wanita dan remaja di luar sana,” katanya.

Bertindak atas laporan, penangkapan Luke itu kemudian disahkan oleh Komander Bahagian Pencegahan Jenayah (CSD) Thailand, Leftenan Jeneral Thitsit Sangsawan.

Luke yang merupakan warganegara Amerika Syarikat itu ditahan kerana melakukan hubungan intim dengan remaja bawah umur yang berusia tidak melebihi 18 tahun.

Guru yang memiliki dua juta pengikut di laman TikTok itu juga didakwa melakukan jenayah dengan merakam perbuatan tidak senonohnya itu ditelefon bimbit miliknya.

“Suspek menyerah diri dengan rela dan memberi kerjasama. Dia telah mengaku hubungan dengan kanak-kanak di bawah umur.” Ujar Sangsawan.

Baca juga: “Aku pegawai kerajaan, suami hanya pekebun sawit” – Wanita tertanya adakah suami biawak hidup, tapi lepas dia buat ini…