Setelah sekian lama mendiamkan diri, pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Datuk ND Lala akhirnya tampil bersuara mengenai kontroversi yang melanda dia bersama bekas isteri, Fauziah Sarman, sebelum ini.
Bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah ini menerusi satu hantaran video di Instagram mengakui, dia telah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani yang disebut-sebut sebagai kawan baik Shila.
“Memang benar saya sudah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani. Memang benar bekas isteri saya tidak setuju pada poligami. Memang benar sudah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak, meminta saya menceraikannya.
“Ini bukan satu keputusan mudah. Selepas 34 tahun kami bernikah dan Allah anugerahkan kami empat cahaya mata. Saya sudah menunaikan permintaan bekas isteri saya. Saya sudah melafazkan cerai terhadapnya pada 2 Ogos di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur.
“Memfailkannya di mahkamah pada 7 Ogos dan beri audio lafaz cerai kepada bekas isteri pada 8 Ogos melalui aplikasi WhatsApp. Mahkamah sahkan perceraian kami pada 5 September,” katanya.
ND Lala bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut punca penceraiannya dengan Fauziah kerana disifatkan terlalu peribadi.
“Hakikatnya bermula 2 Ogos lalu. Perkahwinan kami sudah pun berakhir. Tiada keperluan lagi untuk membicarakan mengenai perkahwinan kami kerana kami bukan lagi suami isteri,” katanya.
“Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, platform yang betul untuk mengadu atau dirujuk adalah pejabat agama dan keabsahannya diputuskan mahkamah. Tiada keperluan mengadu perasaan kepada orang lain.
“Lebih buruk mengadu di media sosial, wartawan. Apa yang terjadi, sudah terjadi. Saya percaya kepada rukun iman, qada dan qadar. Ini bahagian saya, saya reda. Saya percaya perancangan jauh lebih baik. Pasti ada kebaikannya untuk kami berdua di masa akan datang,” katanya lagi.
Pada 5 September lalu, Fauziah memaklumkan kes cerai mereka selesai secara baik.
ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga mereka pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.
Baca juga: Baru berusia 18 tahun anak gadis dah dituduh jadi penyondol, ini respon Abby Abadi