“Lelaki itu nekad nak kahwin lepas kami terlanjur, masalahnya aku masih isteri orang dan suami dah lama tak balik”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berusia 26 tahun terpaksa meneruskan hidup seperti ibu tunggal selepas ditinggalkan sang suami tanpa khabar berita di saat kandungannya berusia lapan bulan.

Mempunyai tiga orang anak, wanita yang tidak bekerja itu hanya bergantung harap kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM200 sebulan.

Kini menumpang di rumah ibu tiri, berikut adalah perkongsian wanita yang dilema apabila pintu hatinya mula diketuk lelaki lain di saat dirinya belum sah bercerai.

“Segala persekolahan anak dan makanan, pakai, lampin semua berharap duit dari JKM bagi. Dengar cerita suami saya pergi ke negara seberang tapi saya tak tahu dia ke mana. Menghilang tanpa sebab dan tanpa jejak. Keluarga dan kawannya pun tidak tahu dia dimana.

“Saya dah pergi failkan permohonan tuntutan nafkah anak dari tahun 2017 di mahkamah. Tetapi setiap kali bicara, 10 kali dia langsung tak hadir dan tidak bagi kerjasama. Malah saya kalah dalam menuntut hak nafkah anak-anak disebabkan dia tidak dapat dikesan.

“Waran tangkap pun dikeluarkan, tapi tidak dapat dikesan. Saya tak dapat buat apa-apa lagi selain berdoa semoga dia terbuka pintu hati untuk bertanggungjawab terhadap anak-anak kami.

“Masalahnya sekarang saya ada mengenali seorang lelaki yang masih teruna dan kami sudah pernah terlanjur. Beza umur kami hanya setahun sahaja. Dia dah datang jumpa dengan Abah, Ma saya untuk mintak izin berkenalan dan ambil saya jadi isterinya. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT. 

“Tapi disebaliknya, keluarga lelaki itu tidak sukakan saya disebabkan saya masih isteri orang dan ada anak. Mak dia dah ada calon lain. Mereka memang rapat sebab dah setahun mengenali. Tapi bakal suami saya itu langsung tidak sukakannya. Disebabkan itu, bakal suami saya sampaikan hasrat untuk menikahi saya.

“Mak, kakak dan adik bongsunya menentang sampai tidak bagi dia berkahwin dengan saya. Pilihan mereka itu non-muslim, anak dara dan anak orang kaya. Sedangkan saya tiada harta benda. Yang betul-betul saya ada di dalam dunia ini hanyalah anak-anak. Tetapi bakal suami saya itu nekad nak nikah juga dengan saya.

“Tetapi dihalang oleh kakaknya. Sepatutnya bakal suami saya kursus kahwin hari ini dan esok. Tetapi kakaknya salah guna kuasa sebagai penolong pegawai penguatkuasa di pejabat agama lalu membatalkan nama dia dalam senarai kursus pada hari ini. Kakaknya dah bagi amaran. Segala permohonan nikah dia tidak akan luluskan.

“Termasuklah permohonan nikah luar negeri sebab kami bukan satu negeri. Abang kepada suami dahulu pun nikah semua mak dia tak bersetuju. Alhamdulillah sekarang semua baik-baik sahaja. Tetapi yang menjadi masalah bagi bakal suami saya ialah mak dia ugut dia.

“Kalau nak juga nikah dengan saya, sampai bila-bila bakal mertua akan terasa dengan dia. Sebab bakal suami saya itu adalah anak bongsu. Nak-nak dia anak lelaki. Syurga bakal suami saya itu ada pada ibunya.

“Apa yang harus saya buat? Sedangkan bakal suami minta saya sokong dia walaupun keputusan ini bakal melukakan hati ibunya. Saya takut rezeki bakal suami tidak berkat nanti. Saya juga takut kehilangan bakal suami. Sebab saya betul-betul sayangkan dia kerana Allah Taala.

“Tolong semua doakan semoga saya tabah. Kuat lalui ujian dan dugaan dari Allah SWT untuk saya kali ini. Saya dah lama dan dah jemu hadap derita. Salahkah saya nak merasai kebahagiaan yang sebenarnya. Memiliki suami di sisi saya dan anak-anak yang menumpang kasih sayang dari seorang ayah tiri.

“Saya terpaksa menangis senyap-senyap. Sebab saya dah tiada tempat nak meluah. Tak mungkin saya nak mengadu dekat keluarga saya. Terima kasih luangkan masa membaca coretan hidup saya yang penuh penderitaan. Maafkan saya andai ada salah ejaan atau bahasa yang tidak sengaja saya luahkan. Assalamualaikum dari insan yang hina.” Luahnya.

Baca juga: Minta isteri jadi suri rumah tanpa gaji, lelaki diperintah bayar ganti rugi lebih RM1 juta