“Aku minta mas kahwin RM700 sebab tahu dia tak mampu, tapi bila kahwin, yang terlafaz adalah RM10k, rupanya suami…”

Oleh MAISARAH AISYA

Usaha dan persefahaman adalah perkara penting dalam usaha untuk menghalalkan pasangan bukan semata-mata cinta antara suami dan isteri.

Seorang wanita berkongsi kerisauan dirinya apabila pihak keluarga meminta terlalu banyak kepada bakal suaminya hingga hubungan mereka berakhir.

Di bawah adalah perkongsian tersebut.

“Sebelum berkahwin, memang terlalu banyak ujian. Aku selalu menangis tapi bukan kerana K (suami) kerana susahnya nak halalkan hubungan.

Kami berdua belajar tinggi juga tapi berlatar belakangkan keluarga yang sederhana. Manakala K bukan dari keluarga senang.

Sebelum aku bertunang dengan K dulu, aku dah tunang dengan lelaki lain. Dan ketika itu, ayah aku tetapkan hantaran RM10K. Entahla, tak ada jodoh.

Bila dengan K, aku risau sangat jika ayahku akan kembali menetapkan nilai hantaran begitu.

Namun hati aku lega sangat, ketika bertunang dengan K ayahku awal-awal lagi menyerahkan pada pihak lelaki berkenaan hantaran.

Kenapa aku risau? Kerana aku tahu, ketika itu dalam simpanan K tidak pernah sampai seribu pun.

Bayangkan, gaji RM800, RM300 diberi pada ibu ayah, kadang RM200 diberi pada adik-beradik.

Begitulah K yang tidak pernah berkira dengan keluarga. Aku memang cukup jatuh hati dengan perangai yang itu. Tapi tetap aku risau dengan persiapan kahwin kami.

Walaupun begitu, aku tidak pernah mendesak K, aku tahu dia sedang cuba yang terbaik.

Selepas tiga bulan kami bertunang, K mendapat tawaran bekerja di tempat yang lebih baik. Alhamdulillah! Aku bersyukur sangat.

Kerana mengikut persetujuan, lagi tiga bulan kami akan berkahwin. Sepanjang bertunang, K beberapa kali bertanya berapa hantaran yang aku mahu.

Selalu aku minta dia tetapkan. Tapi tetap juga dia mahu aku sebutkan harga supaya senang untuk dia usahakan. RM700 jawapanku.

Kalau rasa ada rezeki lebih, cukupkan seribu. Supaya ibu ayahku tidak terkejut.

Berkali dia tanya sepanjang pertunangan, jawapanku sama. Bila aku bagitahu pada ibuku, memang ibuku marah. Kata ibu, nanti aku jatuhkan maruah suamiku.

Tapi aku tetap dengan keputusan. Bukan kerana aku rendahkan kemampuan dia, tetapi aku tahu tanggungjawab dia terhadap aku selepas kahwin nanti memerlukan kewangan yang banyak.

Aku tak mahu dia banyak berhabis untuk aku semata untuk kahwin. Aku tidak pernah sebut tentang hantaran pada sesiapa lagi selepas itu.

Hari perkahwinan kami tiba. Penuh sempurna. Namun aku sangat terkejut, pada saat akad nikah, mas kahwin yang terlafaz dari mulut dia bahkan bukan RM700…

Tapi RM10,000 malah aku diberi seutas gelang emas yang entah berapa ribu nilainya. Aku memang terharu.

Terlalu terharu. Cerita ini, tidak pernah aku ceritakan pada sesiapa bahkan pada keluarga aku.

K terus memberitahuku, semua hantaran itu adalah kejutan dan hadiah untuk aku dan baginya, aku mahal daripada segalanya.

Alhamdulillah. Rupanya, memang semua itu adalah dari duit simpanan yang dia mulakan sejak bertunang dulu. Yang aku rasa agak mustahil, tapi Allah izinkan berlaku.

Aku rasa ini adalahbeberapa contoh daripada suamiku yang boleh kita ikut.

  1. Jangan berkira dengan keluarga sendiri. Lagi lagi ibubapa. Memberilah walau tiada. Mungkin berkat dari situ Allah limpah kurnia rezeki yang lebih banyak.
  2. K memang suka hulur duit pada kanak kanak. Walau sedikit dan itu saja duit yang ada dalam poket, tetap dihulur.
  3. Membantu kawan yang susah.

Kadang, dia sendiri tiada apa, sanggup dikosongkan poket untuk kawan kerana risaukan kawan. Yang ini, sampai kami berbalah juga sedikit.

Kerana pada aku, kawannya tu sampai mengambil kesempatan. Sihat tubuh badan, tapi malas bekerja. Padahal K sampai kurus tak makan demi mencari rezeki.

Setiap bulan, mesti meminta dari dia. Aku tak marah, tapi aku minta dia bagi peluang pada kawan dia untuk berdikari.

Bonus, untuk aku. Hehe. K tidak main game, tiada sosial media Ahh, idola sangat. Moga satu hari nanti aku juga mampu melepaskan hiburan duniawi ini.

Sekarang, kami tidaklah kata tapi sangat cukup dan lapangnya di hati.”

Baca juga: Sempoi betul orang Kuching, satu hotel ‘sporting’ nyanyikan lagu ulang tahun buat Tengku Ahmad