Gara-gara memiliki rambut yang panjang, seorang lelaki ditegur untuk menutup aurat ketika mengunjungi sebuah masjid terkemuka di Kuala Lumpur.
Teguran tersebut dilakukan oleh seorang wanita dipercayai bekerja sebagai pegawai keselamatan masjid yang menyalah ertikan pengunjung terbabit sebagai perempuan.
Pemuda itu bagaimanapun merasa bingung kerana wanita berkenaan tetap berkeras dan memintanya menutup rambut meskipun selepas mengetahui jantina sebenarnya.
Seakan tidak mahu mengakui kesilapannya, wanita pertengahan umur itu enggan mendengar penjelasan pengunjung mengenai hukum menutup rambut bagi lelaki.
Mengundang perbincangan hangat, kejadian itu sempat dirakamkan sebelum dimuat naik menerusi akaun media sosial TikTok lelaki tersebut, @mooi1999taylorsversion.
“Awak perlu turun ke bawah untuk mengambil jubah (yang disediakan pihak masjid). Tak boleh berpakaian seperti ini. Pakai baju (jubah berhud) tutup rambut,” tegur wanita terbabit.
Sempat terpinga-pinga, pemuda berkenaan kemudian menjelaskan rambutnya tidak perlu ditutup dan bukan sebahagian dari aurat ekoran dirinya adalah seorang lelaki.
“Saya bukan perempuan. Rambut tidak perlu ditutup, bukan sebahagian dari aurat (saya). Lelaki tidak perlu menutup rambut.” Jelas perakam kepada wanita berkenaan.
Perdebatan mereka berdua bagaimanapun berakhir apabila wanita terbabit akhirnya mengalah dan beredar dari lokasi itu selepas meluahkan keluhan panjang ‘aduhai’.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok berkongsi rasa hairan mengapa wanita terbabit enggan mengakui kesilapannya dan meminta maaf.
Ramai juga individu berseloroh bahawa teguran tersebut seharusnya diterima sahaja tanpa sebarang bantahan berikutan ‘wanita tidak pernah melakukan kesalahan’.
“Apalah salahnya kalau mak cik mengaku salah dan minta maaf sahaja. Kan sudah selesai masalah,” kata seorang pengguna berkongsi rasa kesalnya dengan tindakan wanita terbabit.
“Dua kali mak cik cakap ‘tahu’ bila abang ini cakap dia lelaki. Tetapi kenapa masih suruh pakai jubah untuk tutup. Ini betul ‘perempuan tak pernah salah’.” Seloroh pengguna lain.
Baca juga: Gaji cecah RM80,000 sehari, ingatkan kerja ‘Oil & Gas’ rupanya tukar mentol je