Mata wang Rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akibat penyusutan lebihan dagangan, tekanan inflasi dan harga tenaga yang kekal tinggi.
Penurunan mendadak ini sudah tentunya tercetus susulan konflik di Asia Barat yang telah mengakibatkan krisis bekalan tenaga sehingga memberikan impak cukup besar kepada ekonomi dunia.
Namun dalam keadaan pasaran tenaga Asia yang cukup terjejas dengan konflik global ini, Indonesia nampaknya berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara.
Hal ini kerana mata wang negara rantau Asia Tenggara yang lain terutamanya Malaysia berjaya merekodkan pengukuhan ketara berbanding dolar AS iaitu sebanyak 9.38 peratus.
Situasi ini menjadikan Ringgit Malaysia antara mata wang terkuat diikuti dengan Thailand Baht yang mencatatkan peningkatan sekitar 4.43 peratus berbanding dolar AS seterusnya Singapura (3.48 peratus).
Berdasarkan hantaran tular dimuat naik di platform X, seorang individu dikenali sebagai Wawat Kurniawan berpendapat bahawa isu konflik global sudah tidak relevan digunakan sebagai alasan Rupiah melemah.
Indonesia sebaliknya mungkin mempunyai kelemahan tadbir urus kerana negara Asia Tenggara yang lain dilihat berhasil mengekalkan kestabilan mereka dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi akibat konflik global.
“Mengapa hanya Indonesia yang hancur? Sementara mata wang tetangga (jiran) berhasil memanfaatkan ‘fundamental’ (dasar) ekonomi untuk menahan konflik global.
“Rupiah justeru turun mendadak sebanyak dua digit (10.84 peratus). Jadi alasan ‘tekanan global’ tidak lagi relevan. Ini salah urus (pentadbiran)!,” kesal Wawat menerusi ciapan di akaun X miliknya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna turut meluahkan kekesalan mereka dengan dasar negara yang disifatkan menekan rakyat berbanding menyelesaikan masalah.
Ramai juga pengguna berharap pemimpin mereka memiliki visi yang jelas dan mengambil kira realiti semasa di ‘lapangan’ sebelum melaksanakan sebarang dasar untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Baca juga: Wanita Indonesia ini kongsi kenapa belajar di Malaysia lebih bagus