Seorang peguam berjaya mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas mengulas isu penyondol daripada sudut undang-undang menerusi satu hantaran di laman TikTok.
Mana tidaknya, peguam itu memberitahu orang ramai bahawa penyondol atau orang ketiga ini boleh dibawa ke muka pengadilan dan dituntut untuk membayar ganti rugi.
Namun peguam dikenali sebagai Hafidzah Hassan itu menjelaskan, tuntutan bayaran ganti rugi ini hanya boleh dilakukan di mahkamah oleh pasangan bukan Islam sahaja.
Hal ini berikutan mereka berkahwin secara sivil dibawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) yang mempunyai peruntukan mengenainya.
“Dalam akta ini, ada peruntukan yang membolehkan pihak ketiga untuk disaman dan diarahkan membayar ganti rugi kepada pasangan yang terkesan. Memang ada (peruntukan).
“Tetapi, dalam undang undang syariah peruntukan yang serupa tidak wujud. Jangan marah saya sebab peruntukan ini tiada. Saya hanya menjelaskan berdasarkan undang-undang,” katanya.
Walau bagaimanapun, Hafidzah menegaskan bahawa orang ketiga atau penyondol ini tidak boleh terlepas begitu sahaja di bawah undang-undang Mahkamah Syariah.
Bahkan tindakan mereka yang menganggu pasangan suami isteri hingga runtuhnya sebuah masjid boleh didakwa di mahkamah kerana telah melakukan jenayah syariah.
“Jenayah syariah ini memperuntukkan pihak ketiga yang mengganggu, memaksa, merayu atau memujuk pasangan untuk tidak menunaikan tanggungjawab seperti tidak pulang ke rumah atau culas memberi nafkah.
“Maka kita boleh laporkan dia (orang ketiga) kepada pihak pendakwaan Syarie untuk didakwa kerana melakukan kesalahan jenayah syariah. Tetapi dia akan didenda atau dipenjara mengikut keputusan mahkamah.
“Jadinya, kita tidak dapatlah apa-apa sebarang bentuk ganti rugi,” jelas peguam yang kini turut bergelar sebagai salah seorang pempengaruh terkenal di media sosial.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberi kefahaman kepada pembaca mengenai isu penyondol mengikut undang-undang. Ingat, menganggu rumah tangga orang adalah satu kesalahan jenayah syariah!
Baca juga: Tak fikir soal jodoh, Puteri Sarah nak fokus pada 2 anak dan perniagaan sahaja