“Abah musnahkan hari raya kami, cakap pandai tapi satu sen tak keluar sejak anak kecil”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita merasa cukup kecewa apabila sikap insan dipanggilnya Abah masih tidak berubah walaupun sudah lanjut usia malah mempunyai beberapa orang cucu.

Tidak hanya gemar memarahi isteri dan anak-anaknya tanpa sebarang alasan, ayah kepada pengadu dikenali sebagai Mas itu juga kedekut dengan ahli keluarga sendiri.

Membesar dengan baik berkat ihsan serta pengorbanan ibunya, berikut perkongsian Mas yang geram akan sikap tamak bapanya setiap kali anak-anak pulang beraya.

“Assalamualaikum semua, Selamat Hari Raya kepada semua. Alhamdulillah, tahun ini dapat jugalah beraya dengan keluarga walaupun sibuk bekerja di perantauan. Suami juga nampak teruja. Apabila kami pulang beraya, mestilah adik-beradik juga seronok. Mak jangan cakaplah, sampai menitik air mata menunggu anak menantu ini balik.

“Dalam ramai-ramai anak, saya seorang yang duduk jauh dari selatan tanah air. Jadi kata mak, rindu itu menebal-nebal. Dalam keseronokkan kami, ada juga yang kurang menyenangkan. Abah, dialah yang merosakkan sambutan perayaan kami. Saya dan adik-beradik memang kurang rapat dengan abah.

“Abah suka lebihkan kawan daripada keluarga sendiri. Sejak dari kami kecil lagi. Dari abang long, abang ngah, saya, alang dan juga adik. Masing-masing tiadalah memori yang manis dengan abah. Kami membesar dari hasil titik peluh mak sahaja. Mak suri rumah, tiada pendidikan, kurang membaca dan menulis.

“Tetapi mak yang menyara kami walaupun tidak banyak pengetahuan am. Sebabnya, ketahanan mak untuk meneruskan hidup memang hebat. Campaklah di hutan mana-mana pun, mesti hidup. Perbelanjaan sekolah, beraya dan balik ke kampung, semua mak tanggung. Macam-macam mak buat dahulu.

“Punyalah tak mahu anak ketinggalan dalam pembelajaran, mak sanggup jual kuih sambil mengambil upah cuci baju dan kemas rumah orang. Semuanya kerana mahu membayar duit buku dan yuran tuisyen. Apabila menjelang hari raya, lagilah banyak kerja mak buat. Masa itu kecil lagi, tak faham kenapa mak buat semua itu. 

“Kami seronok sahaja ikut mak masa itu. Abah pula tak pernahlah berikan apa-apa. Yang dia tahu hanya marah, marah dan marah. Selepas itu angin, tak habis-habislah cakap kami habiskan duit dia. Padahal hal yuran dan persiapan sekolah, abah buat tak tahu sahaja. Punya berkira bab duit dengan anak bini, jangan cakaplah.

“Tetapi, abah laju sahaja berikan orang luar pinjam duit. Alasan ‘brotherhood’. Kalau masa raya lagilah, tiada sumbangannya. Namun apabila bersembang dengan kawan-kawan, abah ‘claim’ persiapan itu dia yang buat atau berikan duit. Saya juga tidak dapat lupakan satu peristiwa yang jadi sewaktu darjah Dua.

“Semasa itu, abah bawa saya bersama abang ngah dan adik untuk pergi ke tempat kerjanya. Waktu itu ada majlis di sana. Abang ngah minta duit dekat abah, nak beli jajan. Abah beri RM5. Abang ngah ambil dan beli aiskrim jenis kon. Jadi RM5 itu habis begitu sahaja. Lagipun kami kecil lagi masa itu.

“Selepas membeli, kami terus bawa aiskrim itu untuk makan di bawah pokok. Tengah leka makan, tiba-tiba abah datang dan jerkah kami. Dia tanya mana baki duit. Abang ngah cakaplah, sudah habis. Duit itu cukup-cukup sahaja. Masa itu juga abang ngah kena lempang. Habis jatuh aiskrim abang ngah. Adik juga menangis-nangis.

“Dekat situ juga abah cakap, menyesal bawa kami bertiga. Duit sudahlah habis, apa pun tak dapat. Selepas marah-marah, abah pergi lepak dengan kawannya. Tinggal kami bertiga yang penuh rasa bersalah sebab habiskan RM5 milik abah. Sambil pujuk adik yang tengah menangis, ternampak abah belanja anak kawan dia makan aiskrim.

“Abah siap hulur duit lagi. Ya Allah, sakit sangat hati ini apabila ingat balik. Sejak dari itu, segala jenis mak nenek aiskrim aku benci. Dia punya trauma itu, janganlah cakap. Nampak sahaja aiskrim, mesti teringat peristiwa itu. Perangai abah tidak berubahlah sampai ke tua, sampai sudah ada cucu.

“Abah akan lebihkan cucu orang lain. Perihal raya pula, dia memang tidak akan ambil peduli. Yang dia tahu, anak-anak kena berikan duit raya. Selepas solat raya, dia akan hilang dari pandangan mata. Lebih memilih lepak dengan kawan-kawan dia dari keluar menziarahi sanak-saudara.

“Apabila kami ajak beraya, abah kata buang masa dan duit. Tanya juga mak, kenapa boleh bertahan dengan abah. Mak cuma cakap, sebab Allah ada. Doakan yang baik-baik sahaja untuk abah. Mak siap pesan supaya jangan bencikan abah walau marah macam mana sekalipun. Sebabnya, dia tetap ayah kami.

“Kepada semua pembaca, minta doakan semoga mak panjang usia dan sihat selalu supaya kami adik-beradik dapat berbakti kepadanya. Abah itu, entahlah. Sudah tak tahu nak cakap apa. Doa sahajalah semoga dia cepat insaf sebelum kubur kata mari. Sekian.” Kongsi Mas (Bukan nama sebenar) menerusi hantaran dalam forum atas talian.

Baca juga: Tok imam sempat angkat isteri ‘call’ masa nak nikahkan pengantin, netizen terhibur