Selamba warga asing menjaja di laluan basikal, siapkan pesanan atas ‘lantai’ jalan!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman membabitkan penjaja warga asing yang ditularkan di platfrom media sosial X telah berjaya menimbulkan kemarahan orang ramai.

Mana tidaknya, penjaja warga asing terbabit dengan selamba menggunakan laluan biru yang khusus buat penunggang basikal sebagai ‘tapak’ untuk mereka meniaga.

Lebih memburukkan keadaan, seorang lelaki dipercayai tukang masak itu langsung tidak menghiraukan kebersihan dengan menyediakan pesanan di atas lantai jalan.

Malah, ruang persekitaran di ‘tapak’ perniagaan mereka dijalan turut dicemari dengan sisa-sisa makanan yang tertumpah ketika pesanan para pelanggan disediakan.

Pemilik akaun yang memuat naik video tersebut menerusi satu hantaran di laman X bagaimanapun tidak mendedahkan di manakah lokasi sebenar rakaman itu diambil.

“Laluan biru itu dibuat untuk penjaja warga asing ke? Hebat sungguhlah warga asing sekarang ini,” tulis pemilik akaun yang menularkan video berdurasi sekitar 36 saat itu.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna X rasa tidak senang dengan tindakan penjaja terbabit yang mengamalkan ‘budaya’ mereka di negara ini.

Ramai juga individu berpendapat bahawa perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi memandangkan pekerja asing tersebut tidak dibenarkan untuk meniaga di Malaysia.

“Pekerja asing dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja di tiga sektor sahaja iaitu perladangan, pembinaan dan 3D. Tidak dibenar meniaga,” kata seorang pengguna.

“Sepatutnya mereka yang kena ikut budaya (kebiasaan) kita. Bukan malah bawakan budaya dan makanan tempatan mereka masuk ke Malaysia.” Kongsi pengguna lain.

Ekoran tularnya perkongsian terbabit, orang ramai berharap supaya pihak berkuasa lebih proaktif membanteras warga asing dari meniaga merata-rata sekitar ibu kota.

Sekadar info, sektor 3D adalah industri yang biasa ditugaskan kepada pekerja asing di mana ia merujuk kepada difficult (sukar), dirty (kotor) dan dangerous (bahaya).

Baca juga: Wanita sanggup beli tiket kapal terbang ke Nilai untuk tonton filem Sheriff sebab Kelantan tak ada wayang