“Sebab nak wanita cantik dan lebih muda, aku tergamak hina dia andartu terdesak”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki menyesali tindakannya menghina gadis yang pernah mengisi hatinya sebagai andartu dan wanita terdesak hanya kerana perasaannya telah beralih arah.

Memilih gadis yang lebih cantik, putih dan manja sebagai bakal isteri, lelaki terbabit merasa bangga kerana berjaya menawan hati pasangannya sehingga tergamak melukai orang lain.

Kekesalan bagaimanapun mula menjengah hati lelaki itu setelah menyedari realiti sebenar ketika membuat persiapan berkahwin dengan wanita muda, manja dan bukan ‘andartu’.

“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Aku ingin kongsikan kisah, harapnya boleh dijadikan tauladan kepada pembaca. Nama aku Azam, berusia di pertengahan 30-an. Memiliki pekerjaan yang stabil dan boleh dikategorikan ada rupa. Ini kisah aku alami sendiri dalam tempoh pencarian jodoh.

“Ketika sedang giat mencari, ibu saudara perkenalkan rakan sekerjanya kepada aku. Seorang gadis yang bekerjaya, anak dara namun agak berusia daripada aku. Nama dia aku gelarkan sebagai Hana. Dia berusia 40-an, tetapi cantik orangnya. Bertubuh tinggi dan langsing persis model. Kulitnya sawo matang dan pandai bergaya.

“Hana juga nampak lebih muda dari usianya. Feminin tetapi tegas dalam masa yang sama. Sikapnya juga matang. Pertama kali diperkenalkan, jujurnya aku suka melihat Hana. Nampak sopan dan pandai membawa diri. Dia merupakan seorang guru, jadi sikap ketegasan memang jelas ada di dalam karekternya.

“Wajah Hana nampak sahaja serius tetapi kalau sudah kenal, memang baiklah tutur katanya. Ton suara juga lemah lembut dan sedap didengar. Senyuman Hana apatah lagi, manis sekali. Waktu awal diperkenalkan, ibu saudara memang sudah cakap dia lebih berusia dan bertanya sama ada aku boleh terima perkara itu.

“Kalau ikutkan keinginan, memang aku menyukai gadis yang lebih muda. Tetapi oleh kerana tiada calon ketika itu, jadi aku iyakan sahaja. Biarkan pilihan sentiasa terbuka. Aku tak letak harapan tinggi sebab ingatkan Hana hanya tipikal wanita berusia yang belum berkahwin. Tak menjaga penampilan atau bergaya. Biasa-biasa sahaja.

“Tetapu Hana memang lain. Bertentangan dengan persepsi aku. Dari rupa paras, aku akui tertarik. Karekter dia pula memang memahami, mengambil berat, berdikari dan sangat matang. Aku suka bersembang dengan Hana. Dia dapat ‘tangkap’ apa yang aku mahu sampaikan. Kami sembang dari topik biasa hinggalah hal-hal dunia.

“Hana juga banyak berikan pendapat dan nasihat kepada aku mengenai kehidupan. Perkara itu banyak membantu aku dalam membuat pelbagai keputusan. Pendek kata dengan Hana aku senang, selesa dan lancar sahaja rasanya apabila kami bersama. Aku pernah terbaca kata-kata seorang pakar motivasi terkenal di media sosial.

“Katanya, memiliki orang yang tepat sebagai pasangan hidup itu seperti mempunyai ‘rakan sparring’ terbaik. Aku nampak perkara ini pada Hana. Antara kami, segalanya baik-bayi sahaja sehingga aku bertemu seorang gadis dinamakan Alya. Dia kenalan kepada rakan sekerjaku. Ternampak ketika terserempak dengan rakan sekerja di luar.

“Terus mata aku asyik memandang Alya sahaja. Cantik sungguh orangnya. Betul, dia menepati citarasa aku. Cantik, kulit putih melepak, bibir merah bak delima, badannya kecil molek dan masih muda. Alya juga manja orangnya. Cakap lemah lembut hingga membuatkan hati aku cair dan mahu melindunginya sebagai ‘hero’.

“Alya bekerja sebagai penjawat awat. Kata kawan aku, dia masih bujang. Hairan aku, masakan perempuan secantik ini masih bujang. Terus aku meminta nombor telefon Alya untuk berkenalan. Dia berjayalah menambat hati aku dengan sifat manjanya itu. Semua berlaku tanpa pengetahuan Hana. Aku juga sudah mula jarang mesej dia.

“Mesej daripada Hana juga aku balas lambat atau langsung tidak diendahkan. Mana tidaknya, aku sudah kemaruk dengan Alya. Aku juga diam sahaja kalau dia bertanya kenapa jarang mesej dan tak angkat panggilan telefon. Sampai satu hari, Hana ajak berjumpa. Aku bersetuju sebab dia minta berkali-kali. Dia tanya kenapa aku dingin.

“Hana tanya kalau dia lakukan sebarang kesalahan atau aku yang ada masalah. Aku geleng sahaja. Dia tanya lagi ke mana arah tuju perkenalan kami. Aku diam. Entahlah macam mana boleh keluar dari mulut Hana tanya jika aku berkenalan dengan orang lain. Terkejut aku. Betullah, gerak hati wanita ini memang kuat. Aku angguk sahaja.

“Hana tanya siapa perempuan itu. Aku hanya jawab, ‘adalah’. Dia tanya lagi, bilakah kami mula berkenalan. Aku jujur beritahu baru sahaja. Hana mula marah, persoalkan kenapa aku tak jujur kalau ada orang lain. Dia juga mengakui sudah mula berkenan dengan aku. Tetapi aku cuma cakap, ‘maaf’. Bertubi-tubi soalan dia ajukan.

“Hana tanya punca yang buat aku berubah hati selepas jumpa Alya. Selamba sahaja jawab sebab dia citarasa aku. ‘Habis itu, saya ini bukan?’, soal Hana kepadaku yang terus membisu. Katanya kalau dari awal sudah tak berkenan, kenapa nak berkenalan dengan dia. Waktu ini nada suara Hana sudah mula meninggi dan tegas sedikit.

“Aku mula rasa tercabar dan menyampah dengan Hana. Terus aku cakap yang Alya itu lebih muda, cantik dan berseri daripada dia. ‘Manja, lemah lembut dan bukannya serius macam awak. Saya juga nak cari yang subur’, jawab aku lagi. Terus berubah air muka Hana berubah. Dia ingatkan aku yang muda tak semestinya subur.

“Kata Hana, ramai lagi kenalannya yang muda tetapi sukar mendapat anak. Ramai juga yang berusia tetapi masih dikurniakan zuriat. Kami bertikam lidah di situ untuk seketika. Akhirnya untuk diamkan Hana, aku keluarkan kata-kata menghiris hatinya. ‘Sudah-sudahlah, awak itu andartu. Sedarlah diri sedikit!’ tengking aku.

“Aku sambung lagi, ‘Jangan nak terdesak sangat. Orang sudah tak nak, blah (pergi) sahajalah!’. Waktu ini aku cakap macam pakai pembesar suara. Hana terus terdiam, matanya berkaca. Aku masih ingat kata-kata Hana, ‘Baik, saya pergi. Tetapi ingat Azam, kifarah is real (itu nyata) . Semoga bahagia dengan pilihan hati awak’.

“Selepas itu Hana pergi tinggalkan aku. Aku masih dengan keegoaan diri, langsung tak tunjuk apa-apa reaksi. Aku perhati sahaja. Hana pergi ke keretanya dan berlalu pergi tinggalkan aku. Masih segar dalam ingatan aku saat ini. Dalam hati aku ini ada sedikit rasa sakit sebab buat macam itu kepada Hana tetapi tidak diendahkan.

“Aku mahu lebih fokus kepada Alya. Selepas peristiwa itu, aku dan Alya makin rapat. Kami selalu keluar bersama. Masa berjalan sebelah Alya, aku rasa bangga sangatlah sebab dapat teman yang cantik. Banyak sahaja mata yang memandang Alya kerana terpesona dengan kecantikan dia. Tetapi aku paling bertuah sebab dapat Alya.

“Itulah yang aku rasa. Apa sahaja yang Alya mahu, semua aku tunaikan. Beberapa bulan mengenali Alya, kami bertunang. Aku semakin bersungguh kumpul duit untuk menikah dan kehidupan selepas berkahwin. Ketika itu, aku memang sibuk dan penat berkerja. Iyalah, sebab sudah ada sasaran yang jelas. 

“Tetapi pada waktu yang sama, perangai Alya semakin menjadi. Dia memang manja tetapi kurang matang bab kehidupan. Umur dia pula dalam lingkungan 20-an. Jadi susah nak memahami kalau aku sibuk, tak dapat angkat telefon atau balas mesejnya secepat mungkin. Selalu Alya merajuk. Kadang-kadang sampai banyak hari.

“Penat juga aku nak memujuk. Aku juga tak boleh kongsi banyak cerita dengan Alya. Pernah sekali aku ceritakan mengenai kepenatan berkerja, tetapi dia cuma teruskan bercakap mengenai dirinya. Aku sangat kecewa. Aku macam bercakap seorang diri kalau nak berbincang soal perancangan sebelum dan selepas berkahwin.

“Aku yang bertanya, aku jugalah yang jawab. Alya hanya dengar dan cakap, ‘hmm.:’ atau ‘iyalah’. Semua perkara ibarat tak penting kepada Alya. Dia hanya melepaskan tanggungjawab untuk memikirkan masa depan kepada aku sahaja. Mula teringatkan Hana pula. Luluh hati. Dengan dia, perbincangan mesti jadi rancak dan menarik.

“Akhir perbincangan kami, mesti Hana akan keluar kata-kata nasihat atau pendapat yang aku mahu dengar. Hana bijak dan matang. Puas hati bersembang dengan dia. Hana juga bukan jenis kuat merajuk. Sangat memahami. Tetapi itu semua kenangan yang tak dapat diulangi lagi. Perangai Alya pula semakin menjadi.

“Kami mula cari tempat majlis kahwin dan baju. Alya hanya mahu yang glamor dan eksklusif sahaja. Mestilah mahal. Aku cuba cadangkan pakej yang sederhana sedikit tetapi tetap nampak bergaya. Alya tetap berkeras tak nak. Aku terangkan kepadanya yang kami perlu fikirkan mengenai kewangan selepas berkahwin juga. 

“Sayangnya, tetap tak diendahkan. Perbincangan kami mesti akan berakhir dengan rajukan yang berhari-hari. Duit aku juga banyak habis. Alya pula baru mula bekerja. Jadi tiada simpanan sangat untuk bayar sesetengah persiapan perkahwinan. Entah, aku penat sangat. Aku rindu Hana! Mula tertanya tentang pilihan yang aku lakukan.

“Aku menyesal buang Hana dulu. Betul ape Hana cakap, kifarah is real. Aku cubalah hubungi Hana tetapi dia block (sekat). Baru-baru ini, ibu saudara aku buat kenduri dan menjemput aku sekeluarga. Sampai sahaja di rumahnya, aku terus ternampak Hana. Jantung aku berdebar seperti ketika mula-mula berjumpa dia dahulu.

“Pandangan kami bertemu, terus Hana pandang ke tempat lain. Aku faham. Banyak kali juga aku curi pandang dia sepanjang kenduri berlangsung. Terus ibu saudaraku bisik, ‘Jangan nak pandang-pandang sangat. Awak itu darah manis’. Selepas itu, aku sudah tak nampak Hana. Ibu saudara aku cakap sudah balik.

“Ketara sangat rupanya aku mencari Hana. Cepat dia balik, mungkin sebab nampak aku. Ibu saudara aku memang bising selepas tahu aku bergaduh dengan Hana. Dia tanya kenapa buat Hana begitu. Tak suka sekalipun, jangan menghina orang dengan perkataan bukan-bukan. Aku diam sahaja waktu itu.

“Ibu saudara malu dengan Hana sebab tak sangka aku akan buat begitu kepada dia. Sejujurnya, aku betul-betul menyesal lepaskan Hana dahulu. Aku silap. Sebab terlalu memandang pada rupa paras cantik, kulit putih dan usia yang muda dalam mencari jodoh. Hana itu sebenarnya cukup cantik. Tetapi aku yang tak bersyukur.

“Kepada lelaki di luar sana, nasihat aku janganlah terlalu memandang kepada paras rupa sangat kalau nak mencari jodoh. Boleh sahaja kalau nak ada citarasa sendiri, tetapi janganlah sampai terlalu cerewet dalam memilih hingga kita telepas seseorang yang sebenarnya terbaik untuk kita.

“Satu lagi, jangan memandang rendah atau hina golongan wanita yang berusia dan masih belum berkahwin. Mereka punya banyak kelebihan dan kecantikan tersendiri. Kenal dahulu, baru tahu. Kahwin bukan hanya pada paras rupa ataupun usia semata. Yang penting sekali adalah hati, kematangan dan juga keserasian. 

“Aku sudah terlepas sebentuk berlian yang jatuh ke riba. Sekarang yang ada hanya kaca yang menghiris. Tarikh kahwin aku sepatutnya Disember ini. Tetapi aku sudah mula rimas dan runsing dengan perangai Alya. Patut aku teruskan atau jujur sahaja kepada Alya?” Soal Azam (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Beli kereta mahal tapi sibuk pasal subsidi”- Netizen bidas Wawa Zainal risau nasib ‘bisnes’