Menang saman fitnah, pengasas Bawal Exclusive sarung tudung bernilai RM70k!

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sangka sehelai tudung mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan lebih mengejutkan ada golongan peminatnya tersendiri.

Tular sebelum ini mengenai bekas pengedar syarikat Bawal Exclusive Sdn. Bhd. (BE) memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap usahawan Haliza Maysuri.

Selaku Pengasas dan Pengarah Pemasaran BE, Haliza menghasilkan tudung eksklusif bernilai RM70,000 selepas menang saman terhadap bekas pengedar lapor Kosmo! Online.

“Disebabkan kami menang saman semalam saya arahkan kilang buat tudung bernilai RM70,000 yang saya pakai hari ini.

“Saya bukan nak menipu tapi ini semata-mata untuk julang nama BE semula. Maruah saya tak boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tuduhan yang dibuat tanpa usul periksa memberi kesan terhadap syarikat yang dibina selama 27 tahun atas penat lelah bersama suami, Rosli Awang.

“Saya dan suami bina jenama ini daripada sewa bilik kecil ketika itu tiada beratus staf, modal dan pendidikan serta tak ada peguam yang jaga.

“BE dibina dengan jerih-perih dan peluh kami. Saya nak beri amaran jangan main-main dengan jenama saya, BE tidak sama dengan jenama lain.

“Jenama ini dibina dengan peluh air mata, dengan kesusahan tiada modal dan pendidikan tapi rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan kami.

“Jenama swarovski mencari kami dan meletakkan kami sebagai branding rakan kongsi sehingga kami menjadi 10 teratas di syarikat itu,” tegasnya.

Media melaporkan, Mahkamah Sesyen Kota Bharu memerintahkan bekas pengedar BE, Rosmaliza Mansor membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 kepada syarikat.

Rosmaliza juga perlu membayar ganti rugi kepada dua lagi pihak atas dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial.

Selain bayaran ganti rugi, Rosmaliza turut diarahkan membayar RM570 kepada Bawal Sdn. Bhd. atas satu invois tertunggak.

Baca juga: Betul ke gaji warga asing di Malaysia cecah RM4k hingga RM6k sebulan?