“Waktu itu kami tiada duit sangat, jadi ayah tempah hotel bajet murah sebelum dia…”

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita langsung tidak pernah menyangka, ayah yang disayanginya boleh berubah sekelip mata berikutan terpengaruh dengan rakan baru dikenalinya.

Malah, satu kejadian yang berlaku selepas bapanya itu menempah bilik di sebuah hotel murah telah meninggalkan trauma cukup mendalam kepada wanita terbabit.

Takut untuk mendirikan rumah tangga meskipun usianya sudah mencecah 30 tahun, berikut perkongsian wanita yang berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada para ibu.

“Ayah adalah lelaki pertama yang kita sayang sebelum suami. Kenalkan, aku seorang perempuan yang bekerjaya. Berumur 30 tahun, tetapi masih belum berkahwin. Ramai kawan aku yang sudah berumah tangga. Aku sebenarnya sudah hilang kepercayaan kepada lelaki. Aku anggap lelaki semua sama sahaja.

“Pernah mencuba nasib dengan memuat turun aplikasi jodoh dan sebagainya. Tetapi diri ini tak yakin selepas apa yang terjadi dalam hidup aku dahulu. Aku ada adik lelaki yang sekarang sudah masuk 27 tahun. Kami berdua dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ayah aku seorang kerani, mak pula suri rumah.

“Kisah cinta ibu dan ayah adalah antara kisah yang paling romantislah bagiku. Ayah selalu manjakan aku dengan segala apa yang mampu dia belikan. Iyalah, aku adalah satu-satunya anak perempuan, sulung pula. Oleh sebab itulah aku lebih menyayangi ayah. Tetapi semuanya berubah selepas ayah aku buat hal.

“Ayah ada seorang kawan yang aku gelarkan sebagai Pian (bukan nama sebenar). Pian seorang pemandu kereta yang berulang alik ke Singapura. Pian juga pernahlah beberapa kali masuk ke penjara atas sebab dadah. Usia Pian lebih tua dari ayah aku. Pengaruh dia juga kuat, selalu masuk kelab sana sini sebagai rutin harian.

“Nak dijadikan cerita, aku dan keluarga pergi bercuti di Pahang pada Hari Raya tahun 2001. Kami ketika itu, tiada duit sangat. Jadi ayah buat keputusan tempah hotel bajet yang murah sahaja. Sampai sahaja di hotel, aku dan adik rasa lapar sangat. Jadinya, ayah turun pergi beli mi segera di kaunter. Mak suruh aku tolong ayah.

“Aku turun jugalah ikut ayah. Selepas itu aku nampak ayah macam sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Aku biarkan sahaja, manalah tahu ada pelanggan atau majikan dia telefon. Tetapi perbualan mereka pelik. Ayah orang Jawa, jadi aku faham sedikitlah bahasa dia. Ketika itu, aku dengar ayah sebut ‘Dek ayu’.

“Panggilan itu boleh dimaksudkan dengan ‘adik cantik’ atau makna yang lebih manja iaitu ‘adik manis’. Dari situ, aku sudah mula rasa adalah yang tak kena dengan ayah. Tetapi aku biarkan sahaja, takut termakan diri nanti. Esok harinya, kami pun bertolak pulang ke rumah. Tiga hari selepas itu, perkara yang sama berlaku.

“Aku ternampak ayah menghubungi orang yang sama sambil menyebut gelaran hari itu juga. Aku cuba tak nak dengar. Tetapi makin lama, makin sakit pula telinga aku ini. Jadi aku putuskan untuk beritahu mak. Tetapi mak aku pula orang Negeri Sembilan, tak pandailah bahasa Jawa. Aku pula yang kena terangkan kepada dia.

“Pada mulanya, mak aku tak ambil serius. Tetapi selepas mak cuba memerhati ayah, dia mula sedar yang suaminya ada perempuan simpanan. Di malam yang mak tahu ayah ada perempuan simpanan, dia terus menengking dan marah. Mak pula sejenis orang yang sangat tegas, berdisiplin dan kuat marah.

“Malam itu, aku terdengar mereka saling bertikam lidah. Bergaduh sampai pecahlah pintu bilik tidur mereka, ayah yang buat. Mulai dari kejadian itu, ayah terus hilangkan diri meninggalkan kami tiga beranak dalam keadaan yang kurang kemampuan. Dari situ mak mula kerja, cari duit untuk aku sambung belajar. 

“Aku tahu yang mak penat berkerja. Jadi aku ambil keputusan untuk tolong dari segi kewangan. Mak akan berikan duit untuk makan di sekolah. Tetapi aku selalu simpan duit itu dan sorok walaupun mak selalu pesan jangan lupa makan. Kadang-kadang, duit itu aku selitkan semula dalam dompet mak untuk kegunaan dia.

“Selepas tamat tingkatan Lima, aku terus sambung belajar di universiti. Ambil kursus kaunseling. Habis sahaja belajar dalam tempoh tiga tahun, aku terus carilah peluang pekerjaan. Alhamdulillah, sekarang aku merupakan salah seorang penceramah atau kaunselor yang terbaik di Malaysia. Aku juga mengusahakan perniagaan sendiri.

“Adik aku pula sudah menjadi peguam yang berjaya. Sekarang, sudah masuk empat tahun aku hidup bersama adik tanpa seorang ibu selepas mak meninggal dunia. Dan sampai sekarang, aku tak tahu ke mana perginya ayah. Aku juga sudah lupa wajah ayah yang dahulunya manis dipandang.

“Disebabkan kejadian ini, aku bertekad untuk tidak mencuba mencintai dan dicintai seseorang. Kerana aku trauma, takut perkara yang sama akan terjadi kepada anak dan cucu kelak. Aku harap wanita di luar sana tidak pandang remeh tentang perkara ini.” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Kadar sewa naik 400%, peniaga Pasar Kedai Payang terpaksa gadai emas nak bayar wang pendahuluan