Terasa hati adik enggan amal adat ‘langkah bendul’, wanita ini disekolahkan netizen

Oleh WAN SITI AMINAH

Istilah ‘langkah bendul’ merupakan adat yang diamalkan masyarakat Melayu zaman dahulu apabila seorang adik mendahului kakaknya untuk mendirikan rumah tangga.

Adat ini hanya terpakai untuk kaum Hawa di mana bakal suami si adik perlu memberi ‘hadiah’ kepada sang kakak yang belum berkahwin dengan tujuan menjaga hatinya.

Walau bagaimanapun, adat itu boleh menyalahi syarak agama yang memudahkan perkahwinan jika permintaan dibuat secara berlebihan sehingga menjadi kewajipan.

Terbaharu, seorang wanita tampil berkongsi rasa terkilan apabila adiknya yang ingin mendirikan rumah tangga sebelumnya enggan mengamalkan adat langkah bendul.

Sedangkan saudara-mara yang lebih berusia telah memberikan cadangan kepada wanita terbabit untuk meminta ‘hadiah’ daripada bakal suami kepada adiknya itu.

“Adik aku nak berkahwin, tetapi aku belum kahwin lagi. Jadinya saudara-mara semua cakaplah tidak mengapa kalau langkah bendul. Nanti mintalah apa-apa (hadiah).

“Tetapi adik aku cakap membazir duit sahaja kalau nak ikut adat. Patut ke aku terasa ya?,” soal wanita terbabit di dalam satu hantaran menerusi platform media sosial X.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut dimuat naik oleh wanita berkenaan di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat dengan si adik bahawa adat tersebut tidak patut diamalkan kerana menyusahkan pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

Ramai juga individu tampil ‘menyekolahkan’ pengadu bahawa jodoh adalah takdir ditentukan oleh Tuhan malah adat langkah bendul juga tidak diajar dalam agama Islam.

“Kenapalah nak mengikut adat yang menyusahkan dan membazir? Lainlah kalau adik itu kaya. Nak kahwin pun banyak duit habis. Selepas itu kena bagi cincin pula (hadiah langkah bendul),” kata seorang pengguna.

“Ini adat yang sangat merepek, membazir, menyusahkan. Islam pun tak ajar. Jodoh itu takdir tuhan. Bukan boleh main susun ikut turutan adik-beradik. Kenapa pula adik yang kena denda.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Pengguna jalan raya serbu sotong terbalik di lebuh raya, netizen dakwa tauke dah bagi ‘green light’