Klip video memaparkan peserta MasterChef: Global Gauntlet dari Malaysia, Jaime Tan yang berulang kali menyebut roti canai sebagai ‘roti kanai’ mendapat perhatian pengguna media sosial.
Kesilapan sebutan itu mencetuskan kritikan warganet, meskipun Tan berjaya memenangi cabaran berkenaan menerusi hidangan roti canai yang disediakannya.
Dia telah memohon maaf secara terbuka selepas tersilap menyebut roti canai dalam rancangan itu yang disiarkan di televisyen.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok dan Instagram pada 9 Jun lalu, Tan berkata dia sedih kerana mengecewakan ramai rakyat Asia Tenggara.
“Saya tahu betapa pentingnya perkara ini kepada rakyat Asia Tenggara, jadi saya ingin memohon maaf. Ia tidak disengajakan sama sekali.
“Saya tidak berniat untuk tersilap sebut nama hidangan kebangsaan dalam rancangan televisyen,” katanya di dalam video itu.
Sebelum ini, peserta berusia 27 tahun itu menarik perhatian warga maya kerana salah menyebut makanan popular Malaysia roti canai.
Tan, yang mewakili rantau Asia-Pasifik, berjaya menambat hati tiga juri iaitu Gordon Ramsay, Joe Bastianich dan Tiffany Derry selepas menyediakan hidangan roti canai dalam tempoh sejam.
Baca juga: “Kalu abbe tok kijo, mama, adik nok make gapo” – Remaja 15 tahun sanggup kerja demi RM80 seminggu