“Isteri kantoi curang masa tengah hamil, tergamak dia pisahkan aku dengan anak lepas kami cerai”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang duda sudah semakin hilang sabar dengan sikap bekas isteri yang menghalangnya berjumpa anak bongsu mereka selepas sah bercerai tiga tahun lalu.

Difahamkan, bekas isterinya itu hanya memberi keizinan untuk bersua muka dengan anak sulung sahaja semenjak meraih hak penjagaan kedua-dua cahaya mata mereka.

Berikut adalah perkongsian lelaki dikenali sebagai Amir yang memohon bimbingan daripada pengguna media sosial mengenai permohonan tuntutan hak lawatan anak.

“Tujuan aku menulis sebab nak minta pendapat dari pembaca semua. Aku kenalkan diri sebagai Amir (bukan nama sebenar). Umur 29 tahun, pernahlah berkahwin tetapi sekarang sudah hampir tiga tahun bercerai. Kami mempunyai dua orang anak, punca bercerai bekas isteri aku curang dengan lelaki lain.

“Selepas dapat tahu, bekas isteri memang beria minta cerai sebab nak ikut lelaki itu. Aku ikutkan sahaja sebab sudah puas merayu. Itu pun merayu sebab fikirkan anak-anak, tak nak mereka membesar dalam keluarga yang tak sempurna. Tetapi masa itu bekas isteri memang tegas dengan keputusan dia nak bercerai.

“Jadi aku reda sahaja. Mungkin Allah nak jauhkan aku daripada perempuan macam itu. Sekarang bekas isteri sudah berkahwin dengan lelaki itu. Anak-anak kami tinggal dengan dia sepenuh masa. Tetapi setiap kali aku nak melawat anak-anak, mesti dia benarkan berjumpa dengan yang sulung sahaja.

“Anak yang bongsu, bekas isteri tak benar jumpa dengan pelbagai alasan. Kononnya, dia yang susah jaga sejak kecil. Memanglah dia yang jaga seorang, siapa yang gatal curang. Selepas itu pisahkan aku pula dengan anak-anak. Sekarang nak buat cerita pula yang dia susah payah jaga anak-anak.

“Kami bercerai ketika anak kedua berusia sebulan. Bekas isteri berlaku curang ketika dia hamil atau sebelum itu lagi. Tetapi dia memang tak benarkan aku jumpa dengan anak yang kedua itu. Sedangkan nafkah anak, setiap bulan aku berikan. Ikutkan aku memang sudah muak dengan perangai dia ini.

“Aku nak tanyalah, memang kena pergi mahkamah dengan bekas isteri ke kalau nak buat tuntutan hak lawatan anak? Sebab aku tahu, dia tak akan berikan kerjasama. Sebab bekas isteri memang tak mahu aku jumpa anak kedua kami. Atau aku boleh sahaja pergi seorang diri untuk buat tuntutan itu?.

“Tolong komen jika ada sesiapa yang tahu mengenai hal tuntutan hak lawatan anak. Aku kalau boleh nak jumpa anak dalam beberapa minggu sekali. Sejak kami bercerai, aku memang tak dapat beraya bersama anak dengan beribu alasan tak bijak yang bekas isteri berikan. Terima Kasih semua. Doakan aku dapat hak selayaknya.” Tulis lelaki itu menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Baru 3 tahun kahwin suami dah mula tunjuk baran, bilik tidur pun dah asing, sampai aku disahkan kemurungan…”