Personaliti media sosial, Bidin Al Zaifa mula meraih populariti selepas mewujudkan saluran YouTube iaitu Waknat TV sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namanya kian melonjak naik selepas terjun ke bidang lakonan sehingga ada cakap-cakap yang mendakwa Bidin telah mula bersikap sombong berikutan dikenali ramai.
Tampil menepis spekulasi, pempengaruh yang kini bergelar pelakon itu menjelaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali, lapor Berita Harian.
“Kalau kata berlagak, mungkin kadang-kadang saya tak perasanlah ada (peminat) yang memanggil. Tetapi, kalau hendak kata saya berlagak memang tak logik sebab saya sedar diri, bukannya hebat mana,” katanya memetik Berita Harian.
Mengulas lanjut mengenai lakonan terbaharunya, Bidin mengakui teruja mendapat panggilan membintangi filem seram pertamanya iaitu Dajal: Satu Malam Dipedajal.
Pelakon berusia 35 tahun itu juga tidak memiliki sebab untuk menolak tawaran filem arahan Pierre Andre kerana pengarah terbabit cukup disegani di dalam bidangnya.
Mahu mengasah bakat lakonan, perkara itu dimaklumkan oleh Bidin dalam satu sesi sidang media dan majlis doa selamat filem berkenaan di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya.
“Saya bawa watak Fendi yang juga peranan utama dalam filem ini. Saya hanya jadi diri sendiri untuk menjayakan watak. Kalau Pierre yang panggil, takkan saya tak nak terima.
“Sebelum ini ada juga berlakon filem. Saya pernah berlakon filem bergenre aksi dan komedi, tapi seram belum lagi. Kali ini ditawarkan menjayakan filem dan ada watak besar perlu dibawa.
“Jadi mengapa tak saya ambil peluang. Sebelum ini ada berlakon, tetapi tak banyak babak. Cumanya kali ini saya diberikan watak besar,” ulas penyampai radio gantian Hot FM itu.
Pada masa sama, Bidin memaklumkan dirinya sentiasa bersiap sedia untuk memberi komitmen dengan sepenuh jiwanya dengan tawaran lakonan yang semakin ‘lebat’.
“Saya perlu jaga kesihatan. Apabila terima panggilan yang membabitkan kerja, saya perlu datang. Kalau boleh nak berikan komitmen 100 peratus, itu antara perkara yang perlu saya jaga.
‘Saya tengok cerita apa ditawarkan. Kalau belum pernah buat atau skripnya menarik, saya akan terima. Manakala untuk kerja di belakang tabir pula, saya menghasilkan lagu.
“Persediaan (untuk filem Dajal: Satu Malam Dipedajal) pula hanya perlu jaga mulut sebab ini adalah filem seram yang menjalani penggambaran waktu malam di Bukit Fraser.” Kongsinya.
Filem Dajal: Satu Malam Dipedajal akan menjalani penggambaran selama 16 hari di Bukit Fraser, Raub, Pahang dengan menampilkan pelakon lain seperti Amir Nafis, Jay Iswazir, Da’i Syed, Khatijah Tan dan ramai lagi.
Untuk rekod, Bidin pernah terbabit dalam penerbitan filem Bikers Kental 2 sebelum mewujudkan saluran Youtube, Waknat TV yang masih lagi aktif sehingga sekarang.
Baca juga: Pernah dilabel ‘ahli neraka’ lepas bercerai, Nadia Brian pilih tak baca komen di sosial media