Seorang wanita tidak menyangka bahawa dirinya bakal terkena tempias apabila suami dikahwininya pada enam tahun yang lalu berlaku curang dengan isteri orang lain.
Lebih memburukkan keadaan, wanita dikenali sebagai Kasih itu turut ‘diserang’ dengan kata-kata ugutan oleh pasangan kepada kekasih suaminya sehingga trauma.
Masih mencuba untuk reda dengan ujian kurniaan Allah, berikut adalah perkongsian Kasih mengenai penderitaan hidupnya menerusi hantaran di sebuah forum atas talian.
“Salam semua. Nama aku Kasih, sudah mendirikan rumah tangga selama enam tahun dan memiliki dua orang anak. Aku salah seorang wanita malang yang telah dicurangi suami. Aku dapat hidu perbuatannya itu pada bulan Ramadan yang lalu. Dia curang dengan rakan sekerjanya iaitu janda dalam proses bercerai yang aku gelarkan J.
“Pada satu malam, suami nak keluar selepas berbuka puasa. Katanya dengan rakan-rakan sekerja. Jadi aku izinkan sahaja. Padahal dia bukan jenis yang suka berkawan atau melepak di luar. Hidupnya 100 peratus hanya bersama aku. Tetapi sejak hari itu, dia selalu meminta izin berbuka di luar. Tingkah lakunya juga amat mencurigakan.
“Sebaik azan, suami akan menjamah air dan sedikit makanan di rumah. Selepas itu, dia akan cepat-cepat mandi dan bersiap nak keluar. Sampai sangguplah tinggalkan anak-anak begitu sahaja sedangkan aku masih belum siap mandi. Kemudian selang beberapa hari, dia keluar lagi dan pulang ke rumah lewat dalam pukul 11 malam.
“Aku yang sudah tidak sedap hati ini memutuskan untuk curi-curi tengok telefon dan aplikasi Whatsapp milik suami. Ternyata memang benar sangkaan aku. Mesej-mesej antara suami aku dengan rakan sekerjanya itu ibarat pasangan bercinta. Lebih luluh, kami baru menyambut hari jadi aku dan suami juga mesej J pada masa yang sama.
“Kemudian aku tanya suami pada malam itu jugak. Nasib anak-anak sudah tidur. Dia mengaku dan menyesali perbuatannya. Katanya hubungan mereka masih baru lagi, tak sampai dua minggu. Jadi semalaman kami berdua hanya menangis sehingga ke waktu Subuh. Waktu itu aku sudah mengambil keputusan untuk memaafkan dia.
“Namun tidak lama selepas itu, aku dapat tahu mereka berdua ini masih berhubung melalui Whatsapp. Selepas ditipu beberapa kali, aku masih lagi maafkan suami. Perkara ini berlanjutan sehingga selepas raya. Di dalam tempoh itu, hubungan kami sekejap baik, sekejap sebaliknya. Banyak kali juga aku gertak untuk minta cerai.
“Aku juga pernah halau suami keluar dari rumah. Tetapi dia masih berhubung dengan J itu dengan alasan rakan sekerja. Siap memaksa aku lagi untuk menerima J sebagai kawan. Aku menolak dengan sekeras-kerasnya permintaan itu. Sehingga pada suatu hari, ada perkara yang terjadi. Mungkin ini doa-doa aku yang Tuhan makbulkan.
“Waktu itu, J berada bersama bekas suaminya (belum sah bercerai) yang aku gelar sebagai B. Pada masa yang sama, si J ini telah menghantarkan pesanan kepada suami aku. Suami membaca mesej itu lalu terus menghubungi J. Namun panggilan itu diketahui oleh B. Jadinya si B itu marahlah. Dia juga membaca semua mesej-mesej lama.
“Mungkin si J jenis tak padam mesej. Terus B hubungi suami aku untuk memarahinya. B juga meminta untuk bercakap dengan aku. Jadi aku akur sahaja. Namun ternyata, perbualan itu telah meninggalkan trauma di dalam hidup aku. B telah melemparkan kata-kata yang tak enak didengar oleh telinga terhadap aku akibat terlalu marah.
“Contohnya, B kata dia mahu melakukan hubungan intim dengan aku di depan mata suami. Dia nak suami aku tengok dengan matanya sendiri. Banyaklah kata-kata lain yang tak elok diucapkan B kepada aku. B juga mengugut nak menumbuk suami aku di tempat kerja supaya semua rakan sekerjanya dengan J tahu mengenai perkara ini.
“Akibat ketakukan, kami telah membuat laporan polis dan aku masih lagi setia di sisi suami. Selepas kejadian itu, perasaan suami aku kepada J telah bertukar. Dia terlalu membenci J dan menganggapnya sebagai perempuan yang hanya memusnahkan hidupnya. Hari-hari suami di tempat kerja selepas insiden itu juga ternyata sukar.
“Rupanya J telah sebarkan cerita bahawa hanya suami aku yang tergila-gilakan dia sampai mengajaknya berkahwin sebelum ini. Aku sudah meminta untuk berhadapan dengan J tetapi suami tak izinkan. Aku masih taat lagi semua kehendak dia. Namun aku yang merana sebab ada lagi perkara yang ‘tersangkut’ tak terucap kepada J.
“Mungkin sampai matilah perkara ini tersangkut. Hubungan aku dengan suami pula semakin membaik kerana kami mengambil hikmah disebalik kejadian ini. Kami hanya anggap ia ujian. Untuk menyedarkan bahawa hubungan kami agak renggang sebelum ini. Namun pada masa yang sama, aku juga berperang dengan perasaan sendiri.
“Kadang-kadang terbayang perbuatan curang, teringat mesej-mesej suami dengan J dan kata-kata B. Mungkin aku boleh maafkan tetapi tak dapat melupakan. Sungguh aku berharap Tuhan boleh padamkan babak hitam dalam hidupku. Ya Allah, aku mohon ketenangan jiwa agar dapat reda dengan setiap ujian. Tiada lagi daya aku ini.” Kongsi Kasih (Bukan nama sebenar).