Seorang lelaki merasa sangat khuatir sekiranya isteri yang disayanginya terjerumus ke dalam kancah ‘ketagihan’ membeli-belah secara atas talian.
Kononnya bertujuan untuk berjimat, tindakan wanita itu malah menyebabkan lebih banyak pembaziran berikutan sesetengah barang yang dibeli langsung tidak digunakan.
Berikut perkongsian sang suami yang berharap isterinya tidak bertindak di luar batasan kerana perkerjaan wanita berkenaan melibatkan pengurusan wang milik syarikat.
“Sejak kebelakangan ini, aku risau dengan sikap isteri yang kerap membeli barang-barang secara atas talian. Mula-mula dahulu, tak kisah sangat sebab dia memang membeli barang-barang yang diperlukan. Tetapi sekarang aku rasa dia seakan tak sedar yang banyak benda dibeli itu langsung tak diperlukan untuk kegunaan kami.
“Contohnya barang yang ada promosi jualan murah. Isteri teruja betul tengok barang murah contoh harganya berharga RM1 atau RM2. Tetapi selepas dibeli, langsung tak guna. Bekas yang entah apa-apa juga dibelinya. Akhirnya terbiar begitu sahaja. Dia sebelum ini beli dekat Shoppe sahaja. Sekarang di TikTok juga, tak tahu siapa hasut.
“Bulan-bulan aku berikan isteri duit belanja RM500. Dia kerja juga, gajinya RM2,000 sebulan tak silap. Aku tak ambil tahu sangat perkara seperti itu. Dia juga tak pernah minta lebih. Apa yang aku berikan, dia ambil sahaja. Perbelanjaan rumah, kami setuju untuk ambil bahagian masing-masing. Aku urus bayaran rumah, makan dan anak.
“Isteri pula tanggung kereta dia, bil-bil rumah dan keperluannya sendiri. Tetapi aku ini selalu bising juga sebab setiap hari barang dia sampai. Sesekali tak mengapalah. Ini setiap minggu, mesti dua ke tiga kali. Dia beli pakaian, beg tangan, kasut dan produk kecantikan mukanya. Kadang-kadang itu dia belilah barang untuk anak-anak juga.
“Barang untuk aku, isteri belikan juga walaupun tak minta. Itu yang aku nampaklah. Alasan dia, malu pakai baju yang sama kalau pergi kenduri atau berjalan. Katanya, pergi kerja juga guna pakaian yang sama bertahun-tahun. Jadi dia beli secara atas talian sebab harganya murah. Tetapi yang aku perasan, banyak membazir adalah.
“Sebab pakaian yang isteri beli selalu salah saiz. Kalau saiznya kecil, dia akan beri kepada sesiapa. Kalau besar pula pergilah jahit di kedai. Keluar duit lagi. Kadang-kadang pakai sekali sahaja. Alasannya tak boleh guna sebab rosak. Suatu hari, dia tiada di rumah. Sampailah barang dia. Semua COD (kaedah penghantaran tunai).
“Waktu itu ada enam barang. Penghantar cakap kena bayar RM118. Aku terkejutlah. Isteri aku beli apa sampai seratus lebih. Aku telefon dan dia minta bayarkan dahulu. Aku malas nak panjang cerita, bayarlah. Balik itu aku tanya, dia belikan mainan untuk anak-anak sebab budak itu minta. Dia cakap sepatutnya RM50 lebih sahaja.
“Tetapi isteri tak sangka semua barang sampai serentak sebab semua penghantaran dari luar negara. Selepas itu aku tanya selain mainan anak sebungkus, apa lagi dia beli. Katanya itu barang-barang dia, untuk rumah. Tetapi rasanya, setiap minggulah barang sampai. Tak akan setiap masa nak beli. Panjang jugalah aku bebel waktu itu.
“Aku tanya jugalah jika isteri periksa jumlah duit habis setiap bulan sebelum membeli. Akhirnya kami bergaduh. Sebab dia kata tak minta duit aku pun. Siap cakaplah aku dengki dengan kebahagiaan dia. Konon barang itu untuk rumah juga, buat keluarga. Bukan untuk dia sahaja semata. Budak-budak juga nak baju dan nak mainan baharu.
“Isteri kata aku tak ambil tahu mengenai keinginan anak. Sedangkan aku juga belikan keperluan anak seperti mainan semua. Cuma tak sekerap dia dan beli pula di kedai, bukan atas talian. Aku jenis fikir ke depan, tak bazir duit sembarangan. Siap sediakan tabung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak-anak.
“Isteri berikan alasan lain, katanya beli cadar dan barang untuk dalaman dia. Makan itu ini supaya badannya kekal sihat dan cantik di mata aku. Macam-macam lagilah dia ungkit. Aku memang tak pernah tahu yang cadar atau selimut kena tukar. Sebab aku tengok elok sahaja, masih boleh guna. Lain kalau koyak rabak. Tak akan sekerap itu.
“Isteri aku sampai tahap kondom juga dibelinya di atas talian. Kononnya sengaja nak cuba dengan aku. Banyaklah lagi barang mengarut yang dia beli. Padahal bukan aku minta atau perlu barang-barang itu. Sampai ada benda yang aku tak pernah tahulah kewujudannya. Tetapi sebabkan dia yang nak merasa semua itu. Aku diam sahaja.
“Aku hanya fikirkan keseronokan isteri. Sampai dia belikan aku seluar dalam macam belalai gajah itu. Bengong betul aku rasa. Kononnya dia akan rasa teruja tengok aku pakai. Walaupun tak suka dan tak selesa, aku pakai juga demi dia. Tetapi sekarang ini dia macam salahkan aku pula. Kononnya nak buat aku yang rasa gembira.
“Kenapa isteri tak berterus terang sahaja dia yang nak. Katanya demi aku. Tetapi aku rasa ego tercabar juga apabila dia menjawab seperti itu. Seolah-olah aku tak berhak nak nasihat dia. Baranlah juga tetapi pada masa yang sama, aku macam rasa sedih. Sudah tak mampu lagi nak cakap apa-apa untuk menasihati dia supaya berubah.
“Aku cuma cakap, sudah ramai orang terperangkap dengan perkara seperti ini. Awal-awal memanglah isteri rasa masih mampu, tak membazir. Tetapi lama-kelamaan, dia mungkin tak sedar perkara ini memakan diri. Jadi tabiat buruk nanti. Banyak jumpa kes macam ini. Nanti jadi apa-apa, babitkan aku juga. Boleh jadi, jejaskan keluarga.
“Isteri terus tinggikan suara. Dia tanyalah kes apa. Katanya, jangan risau sebab dia bukan jenis susahkan sesiapa. Masih sedar apa yang dia lakukan. Selepas itu kami bergaduh. Pakat diam, tak bercakap. Mungkin kerana tertekan bergaduh, dia beli lagi banyak barang. Setelah tiga ke empat hari bergaduh, barang sampai banyak sangat.
“Macam sengaja nak buat provokasi terhadap aku juga ada. Selepas itu aku tengok isteri ambil duit dalam tabung dia. Sebabnya ada yang COD. Aku memang diam. Tak cakap apa-apa sebab takut gaduh. Tetapi aku tahu, dia sudah tiada duit. Sebab gaji lambat lagi. Mesti duit dia sudah habis digunakan sampai bayar pakai duit tabung.
“Tetapi yang paling aku risau, adalah waktu isteri bekerja. Tugasnya menguruskan wang tunai syarikat dalam nilai yang kecil. Tetapi takut jugalah kalau dia tersalah guna duit. Aku cuma mampu berdoa dia cepatlah sedar dan tak sampai ke tahap macam itu.” Kata lelaki terbabit menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Bakal mentua cuma nak menantu doktor, wanita putuskan hubungan lepas teman lelaki kantoi curang