Teka-teki peminat akhirnya terjawab, ini jantina anak ke-5 Fizz Fairuz dan Almy Nadia

Oleh MALAYSIADATELINE

Sejak mengumumkan kelahiran cahaya mata kelimanya pada Rabu lalu, pelakon dan pengarah iaitu Datuk Fizz Fairuz menerima banyak ucapan tahniah daripada peminat termasuk kerana kurniakan anak lelaki.

Tidak mahu perkara tersebut terus menjadi tanda tanya, pemilik nama sebenar Mohd Fairuz Zainal Abidin itu menjelaskan bahawa jantina sebenar bayinya itu adalah perempuan.

Pelakon berusia 44 tahun terbabit turut meluahkan rasa syukur kerana segala urusan berhubung kelahiran anaknya dipermudahkan meski tarikh jangkaan bersalin adalah pada 6 Oktober depan, lapor Oh Bulan.

Fizz turut memaklumkan keadaan isterinya, Datin Almy Nadia berada di dalam keadaan baik selepas melahirkan bayi mereka dua minggu awal dan kini sedang menjalani tempoh berpantang.

“Alhamdulillah, kami terima banyak ucapan dan doa daripada peminat. Malah ada yang cakap kami akhirnya dikurniakan anak lelaki. Tetapi hari ini biarlah saya maklumkan, kami telah dikurniakan anak perempuan yang kelima.

“Kalau nak diikutkan, tarikh Almy dijangka bersalin adalah pada 6 Oktober depan. Namun bayi kelima kali lahir lebih dua minggu awal secara normal. Syukur semuanya dipermudahkan.

“Meski dua tiga minggu sebelum kelahiran, Almy mengalami sakit di bahagian bawah perut kerana kedudukan bayi yang sudah ke bawah sehingga dia sering keluar masuk hospital,” katanya memetik laporan Oh Bulan.

Jelas Fizz, Almy ketika itu masih belum dibenarkan bersalin kerana bayi baru berusia 35 minggu dan doktor akan memberikan ubat setiap kali isterinya merasa sakit demi memastikan keselamatan anaknya.

Pasangan itu sekali lagi ke hospital ketika kandungan Almy sudah masuk minggu ke-37 untuk melakukan pemeriksaan dan doktor mendapati sudah ada bukaan sebanyak dua sentimeter.

Sekadar info, Fizz mendirikan rumah tangga dengan Almy pada April 2014 lalu sebelum dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 9, Nur Afrina Aurora, 8, Nur Afrina Ayra, 6, dan Nur Afrina Aisyah yang kini berusia tiga tahun.

Pasangan yang masih kekal romantis hingga kini itu turut mempunyai seorang anak angkat perempuan berusia 15 tahun dikenali sebagai Nur Afrina Darwisyah.

Baca juga: Besar macam arwah Abam waktu kecil, Ali Puteh teruja lihat Hamzah sihat