Semua kenderaan akan lalu bawah tanah di Kota Madani

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kota Madani yang bakal dibina di presint 19 Putrajaya akan menjadi kawasan tanpa kenderaan.

Memetik dari video Tribune News, Presiden Institut Perancang Malaysia, Datin TPr Mazrina Khalid berkata, kereta yang masuk ke kawasan Kota Madani akan diletakkan di bawah tanah.

“Kenderaan akan terus masuk ke kawasan bawah tanah sebaik tiba di Kota Madani dan akan diletakkan di kawasan parkir bertingkat bawah tanah yang disediakan iaitu setinggi tiga tingkat.

“Di bahagian atas, bermula dari aras podium (aras lima ke atas), semua kawasan adalah zon bebas kenderaan dan dikhaskan untuk pejalan kaki sahaja,” kata Mazrina dalam video tersebut.

@malaysiatribune Pembangunan Kota Madani di Presint 19, di sini, bakal menjadi mercu tanda baharu negara dengan konsep bebas kenderaan dan menekankan aspek kemampanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Presiden Institut Perancang Malaysia, Mazrina Abdul Khalid, memaklumkan bahawa projek pembangunan seluas 102.5 ekar ini akan merangkumi 10,000 unit kediaman kuarters kerajaan serta pelbagai kemudahan asas, termasuk sekolah, balai polis, masjid, dewan komuniti, bazar, pusat komuniti dan kemudahan TVET. #malaysiatribune #kotamadani #beritasemasa ♬ original sound – malaysia tribune

Kota Madani akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar hari ini di Putrajaya. Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, Kota Madani bukanlah satu lagi Putrajaya, tetapi ia berada dalam Putrajaya di presint 19.

“Kita tekankan bahawa pembangunan Kota Madani ini adalah di Presint 19 dan ia terletak dalam keseluruhan 4,931 hektar Putrajaya. Cuma konteks pembangunan di Presint 19 iaitu Kota Madani ini adalah ia berbentuk pembangunan padat.

“Untuk konteks Presint 19 ini, kita namakannya sebagai Kota Madani. Ada juga pihak pemaju menggunakan nama lain untuk tujuan pemasaran tetapi Kota Madani terletak di Presint 19 Putrajaya. Itu perlu dijelaskan dan ia bukan satu lagi Putrajaya,” katanya seperti dipetik RTM.

baca: Majlis Ilmu Madani semakin popular dengan kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa