Kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang dilakukan oleh penyanyi dan pelakon Alif Satar pada awal tahun sudah mendapat tempat di hati orang Islam di negara ini.
Tidak pernah terpalit kontroversi, Alif sebolehnya mengejar populariti dengan mengajak orang untuk buat kebaikan dan mengimarahkan masjid.
Menurut HibGlam, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui ada tekanan dalam menjadi role model (suri teladan) buat masyarakat.
“Saya tak nafikan memang ada tekanan apabila ingin mengajak orang lain melakukan kebaikan tetapi tekanan yang saya maksudkan adalah dalam bentuk positif.
“Memang ini satu tanggungjawab berbeza dengan maju menunjukkan positiviti iaitu memberikan inspirasi kepada orang lain untuk ikut apa yang saya lakukan.
“Saya tahu orang nak contoh yang baik. Macam saya dahulu, tengok Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya nak jadi macam beliau.
“Jadi saya harap orang lain pun rasa begitu terhadap kerja kemasyarakatan saya,” katanya seperti dipetik HibGlam.
Meskipun aktif dalam aktiviti berkaitan masyarakat, Alif sebolehnya menolak sekiranya ditawarkan sebagai wakil rakyat.
“Saya bersihkan najis binatang sebelum ini pun orang puji, padahal itu adalah konten tunjuk kelakar sebab pelik ada kerbau tengah bandar.
“Sampai orang cakap, Alif boleh jadi Ahli Parlimen tetapi saya tidak mahu sebab nak sumbang kepada negara dengan cara sendiri.
“Dalam banyak cara lagi kita boleh sumbangkan kepada orang lain, antaranya sumbangan kepada ummah menerusi Geng Subuh,” ujarnya.
Baca juga: Altimet dedah berapa gaji yang diterimanya jadi ADUN di Selangor